Suara kerajaan dalam dunia yang tidak lagi mendengar

 DALAM realiti komunikasi digital semasa, kerajaan tidak lagi berhadapan dengan khalayak awam yang seragam dan pasif, sebaliknya berdepan masyarakat yang terpecah kepada pelbagai ruang gema maklumat yang bergerak mengikut minat, emosi, ideologi dan pengalaman hidup masing-masing.

Ruang gema maklumat terbentuk apabila individu menerima dan berinteraksi secara berulang dengan maklumat yang selari dengan kepercayaan sedia ada mereka, manakala pandangan berbeza semakin diketepikan oleh pilihan peribadi dan mekanisme algoritma platform.

Dalam ruang ini, sesuatu naratif bukan sekadar disebarkan, malah diperkuatkan melalui pengulangan, sokongan sosial dan pengesahan emosi sehingga membentuk realiti tersendiri bagi kelompok tertentu, walaupun realiti tersebut mungkin tidak mencerminkan gambaran menyeluruh atau fakta sebenar.

Media sosial, aplikasi pesanan tertutup seperti WhatsApp dan Telegram, serta platform berasaskan algoritma telah mempercepatkan pembentukan ruang gema maklumat ini di Malaysia. Kandungan yang bersifat emosi, dekat dengan pengalaman harian dan mudah dikongsi akan lebih cepat tersebar dan diperkuatkan dalam kumpulan tertentu, manakala penjelasan rasmi yang bersifat berhati-hati, berperingkat atau teknikal cenderung tenggelam.

Akibatnya, masyarakat boleh membincangkan isu yang sama, seperti dasar subsidi, kos sara hidup, keselamatan data atau peranan institusi awam, tetapi beroperasi dalam realiti maklumat yang berbeza.

Dalam ekosistem begini, komunikasi awam tidak lagi boleh bergantung pada logik lama iaitu mengeluarkan kenyataan rasmi, mengulang mesej, kemudian menjangka semua pihak akan memahami dan menerima.

Jika kerajaan terus berkomunikasi menggunakan kaedah tradisional dalam ruang baharu yang dikuasai algoritma dan perhatian, mesej kerajaan bukan sahaja berisiko gagal difahami, malah mudah disalah tafsir dan dimanipulasi dalam ruang gema maklumat tertentu, khususnya apabila wujud jurang kepercayaan terhadap institusi awam.

Kelemahan paling ketara komunikasi awam kerajaan hari ini ialah andaian bahawa penyampaian maklumat rasmi secara konsisten sudah memadai untuk membentuk kefahaman awam. Dalam persekitaran ruang gema maklumat , kebenaran fakta tidak semestinya diterima sebagai kebenaran sosial.

Penerimaan maklumat banyak bergantung pada siapa yang menyampaikannya, bagaimana ia disampaikan dan sejauh mana ia selari dengan pengalaman hidup serta emosi komuniti penerima. Mesej kerajaan yang disalurkan melalui saluran rasmi lazimnya beredar paling kuat dalam kalangan khalayak yang memang mempercayai institusi. Sebaliknya, kelompok yang skeptikal atau kritikal tidak lagi menjadikan saluran rasmi sebagai rujukan pertama.

Mereka lebih cenderung mempercayai rangkaian sosial, pempengaruh digital atau komuniti tertutup yang dianggap sehaluan dengan pengalaman dan pandangan mereka. Keadaan ini melahirkan paradok komunikasi.

Kerajaan merasakan maklumat telah disampaikan dengan jelas, tetapi sebahagian rakyat merasakan kerajaan tidak menjelaskan secara meyakinkan, tidak mendengar kebimbangan mereka atau tidak memahami realiti sebenar yang dihadapi.

Situasi ini dapat diperhatikan dengan jelas dalam beberapa isu dasar awam terkini di Malaysia. Pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU), misalnya, bertujuan memperkukuh penyasaran bantuan dan perancangan dasar berasaskan data.

 Namun, dalam ruang gema maklumat tertentu, perbincangan awam lebih tertumpu kepada kebimbangan mengenai keselamatan data peribadi, risiko penyalahgunaan maklumat dan persoalan kepercayaan terhadap pengurusan data oleh kerajaan.

Walaupun penjelasan rasmi diberikan, kekurangan naratif awal yang mudah difahami dan dekat dengan kegusaran rakyat telah membuka ruang kepada tafsiran salah dan maklumat yang mengelirukan untuk berakar.

Apabila penjelasan susulan disampaikan dalam bahasa teknikal dan bersifat defensif, ia sukar menembusi ruang gema maklumat yang telah dipenuhi keraguan dan emosi tidak percaya.

Fenomena yang sama turut dapat dilihat dalam isu rasionalisasi subsidi diesel dan perbincangan mengenai kos sara hidup. Naratif rasmi kerajaan menekankan keperluan fiskal, ketirisan subsidi dan kepentingan bantuan bersasar demi kelestarian ekonomi negara.

Namun dalam ruang gema maklumat yang dihuni oleh rakyat yang terkesan secara langsung, isu yang sama ditafsirkan sebagai bukti bahawa kerajaan semakin terpisah daripada tekanan hidup seharian rakyat. Kisah pengalaman individu, rakaman video ringkas dan luahan emosi lebih mudah mendapat pengesahan sosial berbanding penjelasan berasaskan data makro.

Dalam keadaan ini, walaupun fakta yang disampaikan adalah tepat, ia gagal membentuk kefahaman awam kerana tidak diterjemahkan ke dalam kerangka pengalaman hidup rakyat.

Kes-kes ini menunjukkan bahawa cabaran komunikasi awam kerajaan di Malaysia bukan semata-mata isu kandungan, tetapi isu struktur komunikasi dalam ruang gema maklumat. Penyelidikan komunikasi mendapati bahawa dalam ruang sebegini, kelajuan penyampaian, pengulangan mesej dan pengukuhan dalam rangka sosial menjadikan naratif alternatif lebih berpengaruh daripada penjelasan rasmi yang lambat atau terlalu teknikal.

Maklumat yang diulang secara konsisten dalam komuniti yang sama, walaupun tidak lengkap atau tidak tepat, akan kelihatan semakin sah dan meyakinkan. Apabila sesuatu tafsiran telah menjadi sebahagian daripada identiti dan emosi kumpulan, usaha pembetulan selepas itu sering berdepan tentangan, bukan kerana fakta ditolak, tetapi kerana ia bercanggah dengan rasa dan kepercayaan yang telah terbentuk.

Untuk mengemaskinikan komunikasi awam, kerajaan perlu mengiktiraf ruang gema maklumat sebagai struktur asas komunikasi moden di Malaysia, bukan sebagai gangguan kecil yang boleh diselesaikan dengan menambah kenyataan media atau sidang akhbar.

Dalam model komunikasi kontemporari, persoalan utama bukan lagi sekadar apa yang disampaikan, tetapi bagaimana mesej ditafsir, siapa yang menjadi perantara kepercayaan, dan dalam bentuk apa maklumat itu mudah difahami serta dipercayai. Kekeliruan awam sering berpunca bukan sahaja daripada isi kandungan, tetapi daripada cara maklumat diedarkan, diperkukuh dan disaring dalam ekosistem digital itu sendiri.

Dalam konteks ini, komunikasi awam perlu direka semula sebagai proses berlapis dan berasaskan kepercayaan. Keupayaan mendengar secara strategik perlu dibangunkan untuk memahami bahasa komuniti, titik salah faham dan kebimbangan yang sedang berkembang sebelum ia menjadi krisis persepsi.

Respons yang pantas, konsisten dan mudah disahkan perlu diinstitusikan, kerana dalam ruang gema maklumat, masa adalah sebahagian daripada kredibiliti. Penjelasan yang tepat tetapi lewat sering tewas kepada tafsiran awal yang lebih emosi dan mudah dikongsi.

Selain itu, komunikasi awam tidak boleh bergantung kepada suara institusi semata-mata. Dalam masyarakat digital Malaysia, kredibiliti banyak bergerak melalui jaringan sosial seperti pakar bidang, pemimpin masyarakat, pengamal industri, pendidik dan organisasi sivil.

Kerajaan perlu bekerjasama dengan pihak-pihak ini sebagai penterjemah dasar yang dipercayai oleh komuniti sasaran. Pada masa yang sama, gaya penceritaan dasar perlu berubah daripada bahasa teknokratik semata-mata kepada penceritaan yang menghubungkan data dengan realiti harian rakyat.

Ini bukan memutar fakta, tetapi menterjemah fakta secara empatik agar ia hidup dalam pengalaman manusia, kerana ruang gema maklumat mempengaruhi pemikiran melalui emosi yang dirasai, bukan sekadar angka yang dibaca.

Ukuran keberkesanan komunikasi awam perlu disemak semula. Dalam ruang gema maklumat, capaian, tontonan atau kandungan tular hanyalah ukuran perhatian, bukan ukuran kefahaman. Ukuran yang lebih bermakna ialah sejauh mana rakyat memahami rasional dasar, sejauh mana kekeliruan maklumat dapat dikurangkan dan sejauh mana kepercayaan terhadap institusi awam dapat diperkukuh semula.

Tanpa perubahan ini, komunikasi kerajaan berisiko terus terperangkap dalam ruang gema institusi, di mana merasakan mesej telah sampai, sedangkan rakyat membina kefahaman mereka dalam ruang maklumat yang sama sekali berbeza.

Ruang gema maklumat bukan musuh komunikasi kerajaan, tetapi petunjuk bahawa kaedah komunikasi lama tidak lagi memadai dalam konteks Malaysia hari ini.

Kerajaan yang benar-benar bijak ialah kerajaan yang mampu membaca landskap pendapat awam dengan lebih halus, bergerak pantas tanpa gopoh, mengekalkan ketepatan fakta sambil memperkukuh empati dan penceritaan, serta membina komunikasi awam sebagai kepercayaan antara dasar dan realiti kehidupan rakyat.

*Dr.Haji Ainol Amriz Ismail merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI).

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img