SERAMAI 14 Ahli Parlimen Kedah hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap langkah yang sedang direncanakan oleh kerajaan negeri Kedah yang dipimpin Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu kedudukan Pulau Pinang dengan negeri Jelapang Padi itu serta hubungan antara kedua-dua negeri.
Dalam kenyataan bersama, mereka berkata, perkara berkaitan pajakan itu turut dititahkan oleh Sultan Kedah Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bersempena Hari Keputeraan Baginda ke-81 pada tahun 2023 bahawa status pajakan Pulau Pinang tersebut “perlu diperjelaskan secara terang berlandaskan fakta dan tanpa prejudis.”
‘’Selepas selesai fasa kajian persejarahan dibuat, Kerajaan Negeri Kedah kini bersedia mengambil langkah sewajarnya dengan lantikan peguam bagi mengemukakan kedudukan sebenar pajakan Pulau Pinang di hadapan mahkamah.
‘’Sewajarnya langkah ini dihormati oleh semua pihak kerana tindakan Kerajaan Negeri Kedah berpandukan lunas perundangan. Bahkan Kerajaan Negeri juga tidak bermaksud mencabar kedaulatan Negeri Pulau Pinang seperti yang digembar- gemburkan sesetengah pihak,’’ kata kenyataan itu.
Mereka berkata, apa yang berlaku adalah sebaliknya kedaulatan Negeri Kedah yang telah dicabar oleh sikap prejudis pihak tertentu.
‘’ Langkah Kerajaan Negeri Kedah mengemukakan tuntutan semakan nilai pajakan Pulau Pinang telah menerima bantahan daripada sesetengah pihak sedangkan ia termaktub dalam Perkara 167(7) Perlembagaan Persekutuan.
‘’Apakah pemberian khas di bawah perjanjian 6hb Mei 1869 itu masih setara dengan jumlah yang sama selepas lebih 150 tahun? Tambahan lagi, tuntutan Kerajaan Negeri terhadap caj penggunaan sumber air mentah Sungai Ulu Muda juga ditolak mentah-mentah sedangkan penggunaan air untuk kegunaan domestik Negeri Kedah sendiri dikenakan caj,’’ kata kenyataan berkenaan.
Sehubungan kata Ahli-ahli Parlimen tersebut, siapa yang mencabar kedaulatan siapa sebenarnya? Inilah sikap hipokrit pemimpin yang mahu mengenepikan kepentingan sejarah negeri-negeri yang ada.
‘’ Malah, mereka juga seolah-olah tidak menghormati titah Tuanku Sultan Kedah yang inginkan perkara ini dimuktamadkan dengan tuntas. Oleh yang demikian, kami Ahli-Ahli Parlimen Negeri Kedah berpandangan sewajarnya langkah Kerajaan Negeri Kedah ini disokong sepenuhnya oleh semua pihak.
‘’Mahkamah adalah institusi yang selayaknya untuk merundingkan pertikaian ini dan menentusahkan kedudukan dan hubungan Pulau Pinang dengan Negeri Kedah,’’ kata kenyataan berkenaan.
14 Ahli Parlimen yang membuat kenyataan bersama itu ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahaya, Ahli Parlimen Langkawi Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, Ahli Parlimen Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi, Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden, Ahli Parlimen Kubang Pasu Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail, Ahli Parlimen Jerlun Dr. Abd Ghani Ahmad, Ahli Parlimen Padang Terap Nurul Amin bin Hamid.
Turut membuat kenyataan sama ialah Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Hashim, Ahli Parlimen Jerai Sabri Azit, Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman, Ahli Parlimen Merbok Nazri Abu Hassan, Ahli Parlimen Baling Hassan Saad, Ahli Parlimen Padang Serai Datuk Azman Nasrudin dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Roslan Hashim.


