14 bahagian Bersatu di Perak desak Muhyiddin berundur, bahagian di negeri lain dijangka menyusul  

KEMELUT dalam Bersatu semakin parah apabila 14 daripada 24 bahagian parti itu di Perak hari ini secara terbuka mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur.

Mereka berkata, desakan itu dibuat demi masa depan parti tersebut berikutan sikap Presiden Bersatu itu yang gagal menangani krisis dalaman parti berkenaan ketika ini.

Difahamkan tindakan 14 bahagian Perak itu dijangka diikuti oleh bahagian Bersatu  di negeri-negeri lain atas sentimen yang sama dalam masa terdekat

Pada sidang media di Ipoh hari ini, Ketua Bahagian Bersatu Pasir Salak yang  juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, kemelut dalam parti itu boleh diselesaikan dengan  baik dan segera jika dikawal di peringkat awal.

“Presiden perlu mengawal perkara ini dengan lebih cermat umpama menarik rambut di dalam tepung. Rambut tidak terputus, tepung tidak berselerak. Kegagalan membendung perkara ini daripada awal menyebabkan ia semakin membengkak sekali gus menjejaskan imej Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu khasnya,” katanya yang bertindak sebagai jurucakap.

Antara ketua dan jawatankuasa bahagian yang hadir ialah Tanjung Malim, Pasir Salak, Teluk Intan, Tapah, Kampar, Gopeng, Parit, Beruas, Ipoh Timur, Padang Rengas, Bukit Gantang, Bagan Serai, Larut dan Gerik.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang, Ahmad Man; ADUN Batu Kurau, Datuk Mohd Najmuddin Elias; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan.

Zainol Fadzi berkata, kepimpinan bahagian-bahagian Bersatu di Perak berpandangan bahawa parti perlu melalui proses penyegaran semula termasuk rejuvenasi kepimpinan untuk memastikan Bersatu terus diterima rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Kami yang hadir pada hari ini bukan ahli biasa. Kehadiran pada hari ini adalah kepimpinan utama di bahagian-bahagian Bersatu Perak. Kehadiran hari ini adalah bahagian yang menyumbangkan kerusi DUN dan Parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu bagi Bersatu dan PN.

“Parti ini perlu diperbaharui dan diremajakan. Jika tidak dilakukan sekarang, kami khuatir PRU16 nanti Bersatu akan ditolak di semua kawasan yang ditandingi,” katanya

Selain itu kata beliau, walaupun mereka menghormati Muhyiddin sebagai Presiden dan Pengasas parti, namun faktor usia, isu peribadi serta ke mahkamah yang belum selesai dilihat bakal menjadi liability kepada parti dan PN.

Beliau menggesa Muhyiddin menggunakan baki beberapa minggu terakhir 2025 untuk bermuhasabah dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan lain.

“Tan Sri boleh menjadi pemimpin berjiwa besar dengan berundur secara terhormat. Kami tidak mahu melihat Tan Sri menjadi ‘Najib Razak versi Bersatu’,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img