171 warga asing ditahan, tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan seramai 171 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu di empat buah premis di kawasan perindustrian Semenyih, Selangor sebelum diteruskan ke tapak pembinaan di kawasan Sungai Long, Kajang, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dijalankan sekitar jam 12 tengah hari itu diadakan hasil aduan awam serta risikan selama dua minggu.

Beliau berkata, operasi tersebut digerakkan dengan kekuatan 110 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat JIM Putrajaya.

“Pemeriksaan ke atas 216 individu melibatkan 189 warga asing dan 27 warga tempatan mendapati seramai 171 warga asing berusia antara 29 hingga 50 tahun ditahan.

“Antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, warga asing yang ditahan terdiri daripada warganegara Bangladesh, Myanmar, India, Nepal dan Indonesia.

Dalam operasi sama, beberapa tindakan penguatkuasaan turut diambil terhadap syarikat terlibat termasuk pengeluaran kompaun dan saman, selain lima Borang 29 (Saman kepada Saksi) dikeluarkan kepada warga tempatan bagi membantu siasatan.

“Semua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut. JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang menyalah guna pas atau tinggal secara haram di negara ini.

“Tindakan tegas turut diambil terhadap pihak yang melindungi PATI,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img