PASUKAN Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman menahan dua lelaki dan merampas barang disyaki berkaitan aktiviti penyelewengan minyak diesel bernilai lebih RM350,000 di sebuah premis di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, pada Khamis lalu.
Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 2 petang hasil maklumat dan risikan pihaknya.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan di lokasi, pasukan serbuan menemukan beberapa peralatan dan tangki disyaki digunakan bagi menyimpan serta memindahkan minyak diesel.
“Dalam operasi itu, polis turut merampas sebuah lori bonded, beberapa tangki simpanan termasuk tangki jenis IBC yang disyaki mengandungi minyak diesel serta beberapa peralatan berkaitan.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan, cecair disyaki minyak diesel dan peralatan berjumlah RM359,207,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosli berkata, tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Operasi ini hasil kerjasama bersepadu antara agensi penguatkuasaan dalam usaha membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan di negara ini.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempergiatkan operasi seumpama ini bagi memastikan aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan dapat dibanteras secara berkesan,” katanya.


