2 rakyat Malaysia antara 3 ditahan Polis Thailand, bawa 213kg dadah bernilai RM7 juta

POLIS Thailand menahan seorang lelaki Malaysia dan wanita didakwa isterinya warga Thailand bersama 213 kilogram dadah jenis methamphetamine kristal atau ice (syabu), bernilai kira-kira RM7 juta, baru-baru ini.

Suspek lelaki berasal dari Kelantan itu menaiki sebuah kereta bersama `isterinya’ dan tiga anak wanita berkenaan sebelum ditahan di sebuah stesen minyak di daerah Mueang Chumphon, pada 14 Januari lalu.

POLIS Thailand menggeledah kenderaan yang dipandu wanita warga Thailand (dua dari kiri) kerana cuba menyeludup dadah di daerah Mueang Chumphon, pada 14 Januari lalu. GAMBAR: Pihak Berkuasa Thailand

Menurut jurucakap keselamatan Polis Thailand, seorang lagi lelaki rakyat Malaysia yang menaiki kenderaan lain turut ditahan dalam operasi berkenaan.

Jurucakap itu memberitahu, siasatan mendapati suspek bergerak menggunakan dua kenderaan berasingan iaitu satu bertindak sebagai kenderaan peninjau laluan manakala sebuah lagi digunakan untuk mengangkut dadah.

“Pegawai daripada bahagian pemintas dadah menerima maklumat risikan bahawa satu rangkaian pengedaran dadah dari tiga wilayah sempadan selatan merancang memindahkan sejumlah besar dadah dari Bangkok ke Narathiwat yang bersempadan dengan Malaysia,” katanya, lapor Harian Metro.

Jurucakap itu berkata, kedua-dua kenderaan itu kemudian berhenti di sebuah stesen minyak sebelum pegawai polis memperkenalkan diri dan menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan membawa dadah.

“Hasil pemeriksaan menemukan 213 kilogram dadah ice yang disorokkan dalam tujuh guni dalam ruang but kereta dinaiki pasangan itu dan kanak-kanak kononnya anak mereka,” katanya.

Katanya, wanita itu memandu kenderaan membawa dadah dengan lelaki didakwa suaminya warga Malaysia sebagai penumpang, manakala seorang lagi suspek warga Malaysia memandu kenderaan kedua.

“Dua lagi rakan subahat yang berada dalam kenderaan kedua berjaya melarikan diri, namun identiti mereka sudah dikenal pasti dan usaha mengesan sedang dijalankan,” katanya.

Menurutnya, tiga kanak-kanak dalam kenderaan itu adalah anak wanita berkenaan dan dipercayai digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa supaya perjalanan kelihatan seperti percutian keluarga.

“Suspek menggunakan kehadiran kanak-kanak untuk mengelirukan polis ketika membawa dadah dari wilayah utara ke selatan,” katanya.

Polis Thailand turut merampas dua kenderaan dan sembilan telefon bimbit dalam operasi berkenaan.

Siasatan lanjut mendapati semua suspek mempunyai hubungan kekeluargaan atau persahabatan rapat serta dikaitkan dengan rangkaian pengedaran dadah di tiga wilayah sempadan selatan yang sebelum ini pernah menjadi sasaran polis narkotik Thailand.

Semua suspek dan barangan rampasan diserahkan kepada penyiasat untuk tindakan lanjut dan dijangka didakwa kerana bersekongkol mengedar dadah Kategori 1 (methamphetamine) dalam skala komersial, yang dianggap mengancam keselamatan awam serta keselamatan negara.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img