POLIS menembak mati tiga penjenayah ahli kumpulan geng samun selepas mereka menetak tangan seorang anggota polis di sebuah ladang sawit di Durian Tunggal, Melaka awal pagi ini.
Kumpulan penjenayah Geng DT itu dipercayai terlibat dalam 20 kes pecah rumah, kilang dan kedai makan sejak tahun lalu membabitkan kerugian RM1.3 juta.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketiga-tiga suspek ditembak selepas menetak tangan seorang anggota polis yang cuba menahan mereka dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi.
“Seorang anggota polis cedera serius akibat ditetak pada tangan kiri yang mana ia hampir meragut nyawanya.
“Polis tiada pilihan dan terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri, menyebabkan tiga suspek mati di tempat kejadian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini, lapor Berita Harian.
Katanya, suspek bersenjatakan parang panjang terdiri dua lelaki berusia 24 tahun dan seorang berusia 29 tahun.
“Suspek dipercayai menggunakan modus operandi bergerak secara berjalan kaki sambil membawa senjata untuk menyamun premis sasaran bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.


