3 sahabat positif dadah selepas bercuti di Koh Samui antara 13 ditahan AADK

AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah menahan tiga sahabat yang baru tiba di Malaysia selepas bercuti di Koh Samui, Thailand kerana didapati positif dadah, petang semalam.

Kesemua mereka berusia 23 tahun dan berasal dari Johor ditahan pada jam 4 petang dalam operasi khas sempena Tahun Baharu 2026 di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Ketiga-tiga sahabat itu adalah antara 13 individu yang ditahan AADK Kedah dalam operasi yang bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah malam tadi.

Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan kenderaan seperti motosikal dan kereta namun hanya pemeriksaan ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap golongan belia dan invidividu tertentu sahaja.

Beliau berkata, sebanyak 15 kereta serta 25 buah motosikal ditahan untuk pemeriksaan dan 30 individu diminta menjalani pemeriksaan air kencing.

“Bagaimanapun, hanya 13 individu berusia antara 18 hingga 39 tahun didapati positif dadah yang kebanyakannya ketamin.

“Mereka memberi alasan hanya mengambil dadah di tempat hiburan untuk keseronokan dan mereka ini kebanyakannya mempunyai peluang untuk berubah dan tidak terjebak dengan penagihan dadah yang lebih serius, ” katanya, lapor Harian Metro.

Khairul Anwar berkata, kesemua yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 3(1) (a) Akta Penagihan Penyalahguna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Sementara itu, salah seorang daripada tiga sahabat yang ditahan mendakwa membeli dadah jenis ganja itu di tepi jalan ketika dalam perjalanan pulang dari bercuti di Koh Samui.

Katanya, ini adalah pertama kali mereka mencuba dadah sekadar untuk suka-suka namun tidak menyangka akan ditahan AADK sebaik sahaja tiba di tanah air.

“Kami bersahabat baik sejak kecil dan datang dari Johor untuk bercuti di Thailand dan masing-masing menunggang motosikal malah sepatutnya pulang lebih awal kerana esok (hari ini) kami bekerja.

“Kami beli satu peket kecil saja dan kongsi bertiga, itu pun cuma hisap di hotel di Hatyai sebelum pulang ke Malaysia dan kami tak pernah pun ambil (dadah) sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Kompleks ICQS malam tadi.

Menurutnya lagi, seorang daripada mereka menerima panggilan yang bapanya meninggal dunia tengah hari semalam menyebabkan mereka segera pulang ke Johor.

Bagaimanapun, perkara itu hanya dimaklumkan kepada pegawai AADK pada 8 malam tadi selepas ditahan kerana ujian saringan awal air kencing mereka didapati positif ganja.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img