3 sindiket tumpas, Polis rampas dadah lebih RM180 juta

POLIS menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah dalam operasi berasingan di Kuala Lumpur dan Selangor dengan rampasan keseluruhan dadah bernilai RM180.8 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kes terbesar melibatkan rampasan lebih tiga tan methamphetamine bernilai kira-kira RM170 juta dalam ‘Op Chrysogaster’ pada 2 Mac lalu.

DATUK Hussein Omar Khan dalam sidang media kejayaan polis menumpaskan tiga sindiket dadah, di Pulapol Kuala Lumpur hari ini. GAMBAR: JSJN PDRM

Menurutnya, dua anggota sindiket berusia 28 dan 44 tahun ditahan dengan serbuan di Taman Gembira serta Taman Overseas Union Garden masing-masing menemukan dadah seberat tiga tan.

“Dadah dirampas ini boleh merosakkan 17 juta orang.

“Sindiket itu dipercayai aktif sejak Disember lalu dan mendapatkan bekalan dari kawasan Golden Triangle (Thailand, Myanmar, Laos),” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur hari ini.

SEBAHAGIAN daripada dadah yang dirampas dalam sidang media kejayaan polis menumpaskan tiga sindiket dadah, di Pulapol Kuala Lumpur hari ini. GAMBAR: JSJN PDRM

Dalam kes kedua, Hussein berkata, polis menyerbu sebuah gudang yang dijadikan makmal haram memproses dadah di Taman Perindustrian Subang, Subang Jaya.

“Pemeriksaan menemukan sejumlah 214 tong cecair disyaki bahan kimia, tiga tong dan lima botol serbuk bahan kimia serta beberapa peralatan memproses dadah.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Oktober 2024 dan menggunakan identiti palsu untuk menyewa gudang dengan kadar RM6,500 sebulan,” katanya.

Sementara itu, Hussein berkata, polis menahan tiga lelaki tempatan berusia 27 hingga 38 tahun dalam serbuan di Taman Sri Rampai pada 5 Mac lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori menemukan 10 kotak mengandungi bunga ganja seberat 124.7 kilogram dengan nilai dianggarkan RM10.2 juta,” katanya.

Beliau berkata, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img