SERAMAI 31 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dalam talian di Myawaddy, Myanmar selamat dibawa pulang ke tanah air.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Yangon berjaya memudah cara usaha repatriasi 31 warganegara Malaysia itu.
Kumpulan berkenaan tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah pada jam 6.50 petang hari ini, seterusnya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu siasatan lanjut.
“Identiti kesemuanya disahkan lebih awal oleh pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok semasa operasi repatriasi sebelum ini pada awal Disember.
“Kepulangan mereka tidak dapat diuruskan serta-merta kerana tertakluk kepada undang-undang imigresen tempatan atas kesalahan masuk tanpa izin. Bagaimanapun, hasil usaha dan rundingan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, kumpulan tersebut dibebaskan di bawah Mekanisme Rujukan Kebangsaan (NRM) Thailand pada Jumaat,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, bantuan konsular yang komprehensif diberikan termasuk pemakluman kepada ahli keluarga, pengeluaran dokumen perjalanan sementara, penyelarasan logistik, penyediaan keperluan asas serta pengiringan sepanjang 26 jam perjalanan dari Mae Sot, Wilayah Tak ke Bukit Kayu Hitam.
Menurut kenyataan itu lagi, operasi itu sebahagian usaha berterusan kementerian menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara, terutamanya golongan yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan dalam talian.
“Kejayaan operasi ini hasil kerjasama erat antara Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), PDRM, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Yangon serta Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
“Kementerian merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa di Myanmar atas kerjasama teguh dalam memudah cara serta mempercepatkan usaha membawa pulang 31 warganegara Malaysia ini,” ujar kenyataan tersebut.


