POLIS menumpaskan kumpulan penjenayah ‘geng pukau’ melibatkan warga Iran selepas menahan empat individu termasuk seorang wanita di sebuah kondominium di ibu negara pada Isnin lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 18 hingga 35 tahun terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita.
Beliau berkata, dua daripada suspek merupakan adik-beradik manakala dua lagi mempunyai hubungan persaudaraan.
“Taktik kumpulan ini adalah berinteraksi dengan mangsa sebelum mangsa tiba-tiba dipukau dipercayai menjadi khayal sebelum mereka mengambil barangan berharga.
“Setakat ini empat kes dikenal pasti melibatkan kumpulan ini dan terbaharu berlaku pada 9 Januari lepas,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hari ini.
Fadil memberitahu, semakan awal polis mendapati kesemua suspek memasuki negara ini pada Jun tahun lalu dan kumpulan ini menyasarkan mangsa rakyat tempatan dan warga asing melibatkan kerugian melebihi RM30,000.
“Kesemua suspek masih dalam tempoh reman dan dijangka didakwa minggu depan,” ujarnya.
Kes ini kata beliau, disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan.


