SERAMAI 468 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melakukan pelbagai kesalahan antaranya tiada permit kerja dan memiliki dokumen palsu berjaya ditahan dalam Operasi khas Gempur (Ops Gempur) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Cameron Highlands hari ini.
Operasi besar-besaran itu membabitkan seramai 547 orang pegawai dan anggota JIM dan dijalankan di beberapa lokasi tumpuan di pusat pelancongan berkenaan.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya merancang operasi itu sejak sebulan lalu susulan banyak aduan dan risikan terhadap warga asing yang terlibat dalam aktiviti perniagaan dan pertanian.
“Operasi dibahagikan kepada empat zon utama, melibatkan seramai 1,886 individu yang diperiksa.
“Sehingga tengah hari ini, seramai 468 PATI ditahan untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut, termasuk semakan kesahihan pas yang dibawa.
“Jumlah tangkapan itu, termasuk dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas operasi hari ini, lapor Harian Metro.
Menurut Zakaria, angka itu dijangka bertambah kerana operasi masih berlangsung di beberapa lokasi.
Beliau berkata, lokasi tumpuan operasi termasuk premis perniagaan, gerai sayur dan buah, kawasan pembinaan serta kebun-kebun sayur di sekitar Cameron Highlands.
“Berdasarkan pecahan tangkapan, majoritinya terdiri daripada warga Myanmar, diikuti Bangladesh, Indonesia serta beberapa warganegara asing lain.
“Daripada jumlah keseluruhan, seramai 388 lelaki dan 76 perempuan yang berusia antara 20 hingga 54 tahun,” katanya.
Mengulas mengenai kesalahan yang dikesan, beliau berkata, banyak individu didapati menggunakan e-Pas Lawatan Kerja Sementara (ePLKS) palsu dan siasatan lanjut dijalankan bagi menjejaki ejen yang mengeluarkan pas berkenaan.
Beliau juga memberi amaran kepada majikan supaya berurusan dengan ejen berdaftar atau terus dengan JIM bagi mengelak ditipu atau berurusan dengan pas palsu.
Dalam pada itu, Zakaria menekankan operasi JIM ini berterusan sepanjang tahun dan bukan yang pertama atau terakhir di Cameron Highlands.
“Sehingga November tahun ini, seramai 83,994 individu telah ditahan di seluruh negara yang menunjukkan tindakan tegas diambil oleh pihak JIM dalam memerangi isu pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.
Beliau menegaskan operasi seumpama ini akan diteruskan di seluruh negara bagi memastikan warga asing yang tiada pas sah tidak terus bekerja dan menetap di negara ini.


