50,000 permohonan diterima bagi pendaftaran Tahun 1 berusia enam tahun, Johor tertinggi

SELEPAS dua minggu pendaftaran dibuka, hampir 50,000 permohonan diterima di seluruh negara bagi pendaftaran murid Tahun 1 berusia enam tahun pada 2027 di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dengan Johor muncul antara negeri penyumbang terbesar.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata,  angka itu isyarat positif awal kerana ia sebahagian pelaksanaan RPM yang menetapkan sasaran wajib capai dalam tempoh 10 tahun.

“Apabila Johor menjadi antara negeri tertinggi dari segi pendaftaran, ini menunjukkan ibu bapa bersedia memberi komitmen dan percaya kepada sistem yang sedang dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas program Jaulah Ramadan Komuniti 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar hari ini.

Fadhlina berkata, walaupun tempoh pendaftaran berlangsung hingga 31 Mac namun kementerian akan terus menerima permohonan selepas tarikh itu untuk memberi ruang kepada ibu bapa membuat keputusan.

Beliau juga berkata, kementerian membuat unjuran maksimum sehingga 700,000 pendaftaran dan persiapan rapi sedang dijalankan termasuk prasarana dan pengambilan guru.

“Walaupun persiapan dibuat pada tahap maksimum, perkembangan semasa membolehkan kementerian menyusun perancangan lebih terperinci mengikut negeri dan sekolah berdasarkan pola pendaftaran,” katanya.

Menurut Fadhlina, kementerian turut mempergiat pelaksanaan Program Tekad Reformasi Pendidikan (Tekad) sebagai platform penerangan dan libat urus berterusan bagi memastikan mesej dan sasaran RPM difahami secara menyeluruh.

Mengenai program hari ini, Fadhlina berkata penganjuran tahun ini turut menampilkan sesi penerangan Tekad yang memberi maklumat kepada guru, ibu bapa dan komuniti mengenai teras strategik RPM serta peranan keluarga dalam menjayakan dasar itu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img