PIHAK berkuasa Kemboja menahan sekurang-kurangnya 658 suspek, kebanyakannya warga asing, dalam satu operasi besar-besaran membanteras kegiatan penipuan dalam talian di Bandar Bavet, Wilayah Svay Rieng.
Memetik laporan, khmertimeskh.com, jurucakap Timbalan Kementerian Dalam Negeri, Touch Sokha, mengesahkan serbuan itu yang pada 4 November lalu oleh Jawatankuasa Pembanterasan Penipuan Dalam Talian Kementerian Dalam Negeri, dengan kerjasama Polis Kebangsaan dan Polis Wilayah Svay Rieng, di bawah penyelarasan Timbalan Pendakwa Raya Mahkamah Wilayah Svay Rieng.
Dalam operasi pertama, pasukan penguat kuasa menyerbu sebuah bangunan di Kampung Bavet Kandal, dan menemui 57 warga asing, termasuk 15 wanita daripada enam kewarganegaraan, selain 12 rakyat Kemboja yang bekerja sebagai pembersih, pengawal keselamatan dan penterjemah.
Serbuan kedua pula menyasarkan bangunan berkembar sembilan tingkat di Jalan Kampong Spean, kawasan yang sama, dan menemukan 601 warga asing daripada empat kewarganegaraan.
Hasil siasatan awal mendapati lokasi pertama digunakan untuk penipuan menyamar sebagai pegawai polis bagi mengugut mangsa, manakala lokasi kedua menjalankan pelbagai penipuan pelaburan palsu, penipuan cinta siber, pendaftaran maraton palsu, serta pencurian identiti menggunakan teknologi AI deepfake.
Touch Sokha menjelaskan bahawa operasi berkenaan membuktikan komitmen berterusan kerajaan Kemboja, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Hun Manet, dalam memerangi jenayah siber dan penipuan rentas negara, termasuk menahan dan mendakwa penjenayah, serta mengusir mereka ke negara asal.
Menurutnya lagi, usaha itu turut melibatkan kerjasama antarabangsa dalam menyalurkan maklumat mengenai rangkaian dalang utama kegiatan penipuan.
“Operasi ini sekali lagi membuktikan kesungguhan sebenar dan tindakan nyata kerajaan Kemboja dalam menangani cabaran global ini,” katanya.
Dalam tempoh mandat kerajaan keenam, Kemboja telah mengusir 21,000 warga asing yang terlibat dalam jenayah seumpama itu, dan 15,000 lagi sepanjang dua tahun pertama mandat ketujuh.
Sepanjang sembilan bulan pertama tahun 2025, Polis Kebangsaan Kemboja telah menyiasat 48 kes penipuan teknologi dan mengusir 2,722 warga asing dari negara itu.


