75,000 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 16 bulan pertama perang Gaza

SATU  kajian yang diterbitkan oleh dalam The Lancet menganggarkan bahawa lebih 75,000 rakyat Palestin dibunuh dalam tempoh 16 bulan pertama perang Israel di Gaza — sekurang-kurangnya 25,000 lebih tinggi daripada angka yang diumumkan oleh pihak berkuasa Palestin pada masa itu.

Kajian yang diterbitkan pada semalam dalam The Lancet Global Health menunjukkan antara 7 Oktober 2023 hingga 5 Januari 2025, kira-kira 42,200 wanita, kanak-kanak dan warga emas dibunuh. Golongan ini merangkumi 56% daripada kematian akibat keganasan dalam tempoh yang dikaji.

Para penyelidik menyimpulkan bahawa setakat 5 Januari 2025, antara 3% hingga 4% penduduk Semenanjung Gaza telah terbunuh akibat keganasan, dengan ribuan lagi kematian berpunca secara tidak langsung daripada konflik, seperti kekurangan zat makanan dan penyakit yang tidak dirawat.

Portal berita Quds News Network (QN) melaporkan kajian tersebut dijalankan oleh pasukan pelbagai disiplin yang terdiri daripada ahli ekonomi, demografi, epidemiologi dan pakar tinjauan. Ia berdasarkan kaji selidik terhadap 2,000 keluarga yang dipilih secara teliti di seluruh Gaza bagi memastikan sampel mewakili populasi wilayah itu.

 Responden diminta memberikan maklumat terperinci mengenai kematian dalam kalangan ahli keluarga mereka.

The Lancet adalah jurnal perubatan antarabangsa paling berprestij dan berpengaruh serta dianggap antara jurnal perubatan paling berautoriti di dunia.

Penemuan itu juga menunjukkan bahawa laporan Kementerian Kesihatan Palestin mengenai peratusan wanita, kanak-kanak dan warga emas dalam kalangan mangsa adalah secara umumnya tepat.

Bulan lalu, seorang pegawai kanan keselamatan Israel memberitahu wartawan Israel bahawa angka korban yang dikumpulkan oleh pihak berkuasa kesihatan Gaza adalah secara umumnya boleh dipercayai, meskipun sebelum ini terdapat keraguan yang dibangkitkan oleh pegawai Israel. Pegawai itu dilaporkan menganggarkan sekitar 70,000 rakyat Palestin terbunuh sejak Oktober 2023, tidak termasuk mereka yang masih hilang.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin kini melaporkan bahawa lebih 72,000 orang telah terbunuh dalam serangan Israel, termasuk lebih 600 kematian yang direkodkan selepas gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober 2025.

Satu kajian terdahulu yang diterbitkan dalam The Lancet tahun lalu menganggarkan bahawa angka korban dalam tempoh sembilan bulan pertama konflik adalah kira-kira 40% lebih tinggi daripada angka rasmi pada waktu itu.

Profesor Michael Spagat dari Royal Holloway, University of London, salah seorang penulis kajian dan penyelidik lama dalam pengiraan korban konflik, berkata dapatan terbaharu itu menunjukkan kira-kira 8,200 kematian dalam tempoh kajian berpunca daripada kesan tidak langsung peperangan.

“Di Gaza, sekurang-kurangnya pada peringkat awal, terdapat sumber dari segi doktor yang terlatih dan sistem kesihatan yang berfungsi,” katanya, sambil menambah bahawa saiz wilayah yang kecil membolehkan bantuan sampai kepada penduduk apabila ia dibenarkan masuk.

Beliau menegaskan skala kehilangan nyawa itu tidak dipandang ringan.

“Saya menolak tanggapan bahawa ini adalah jumlah kematian yang kecil. Saya fikir kita sedang mengalami kesan desensitisasi,” katanya.

Kajian itu menekankan perdebatan berterusan mengenai angka korban di Gaza serta cabaran dalam mendokumentasikan kematian di zon konflik aktif, khususnya apabila infrastruktur rosak teruk dan akses adalah terhad.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img