SEORANG guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir dan pekerja kantin di sekolah sama maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung di Jalan Kuala Jeneris – Sungai Gawi – Aring dekat Bukit Kawah, di Hulu Terengganu hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, guru tersebut Hassan Shazali, 52 dan Suzaimah Che Azis, 34, yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas tercampak keluar dari kenderaan berkenaan, difahamkan akan berkahwin pada 25 Disember ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa melalui laluan yang ditutup kepada semua kenderaan susulan kejadian tanah runtuh.

Katanya, pasangan itu menaiki SUV jenis Toyota Fortuner dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu menuju ke rumah mereka di Gua Musang, Kelantan.
“Sebaik tiba di lokasi, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 61 meter. Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Menurut Sharudin, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat.
“Keadaan jalan di lokasi merupakan jalan persekutuan yang tidak rata, ditutup sepenuhnya kepada kenderaan serta berada dalam kawasan tanah runtuh ketika kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.


