AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) berjaya menyelamatkan 15 kru sebuah kapal kargo yang mengalami kebocoran serius ketika dalam pelayaran dari Lumut, Perak menuju ke Vietnam awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata kejadian berlaku sekitar jam 1 pagi apabila kapal kargo yang membawa muatan tanah liat itu dikesan mengalami masalah kira-kira 59 batu nautika timur laut Merchang, Marang.

“Kejadian dilaporkan selepas Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan mengaktifkan prosedur kecemasan dan mengarahkan kapal tersebut menghampiri pesisir pantai bagi mengurangkan risiko.
“Susulan laporan itu, kapal peronda Maritim Malaysia KM Sebatik digerakkan ke lokasi dan berjaya memindahkan kesemua kru pada kedudukan kira-kira lima batu nautika timur Kampung Jambu Bongkok, Marang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata semua kru yang diselamatkan — terdiri daripada 13 warga Vietnam serta masing-masing seorang dari India dan Bangladesh berusia antara 21 hingga 54 tahun — telah dibawa ke jeti Zon Maritim Kemaman pada jam 6.05 petang untuk pemeriksaan kesihatan dan seterusnya diserahkan kepada ejen masing-masing.


