MAYAT remaja lelaki yang dilaporkan lemas ketika cuba mengambil bola dalam longkang di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana, Kajang ditemui petang tadi.
Mayat Khalish Shahdan, 14, ditemui dalam takungan air berhampiran sebuah pasar raya di Prima Saujana selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mengesan bau di kawasan itu.
Pencarian memasuki hari ketiga sejak Khalish dilaporkan hilang, sebelum mayatnya berjaya dikeluarkan jam 8.45 malam dan dibawa ke Hospital Kajang untuk bedah siasat, lapor Berita Harian.
Ibu saudara mangsa, Nor Zieta Ibrahim, 39, berkata ahli keluarga bergegas ke lokasi selepas dimaklumkan penemuan mayat sekitar jam 5 petang.
Katanya, pihak keluarga bersyukur kerana akhirnya mayat Khalish ditemui selepas menanti dengan penuh debaran selama tiga hari.
“Sepanjang tempoh ini, ahli keluarga mengadakan doa tahlil dan solat hajat supaya urusan pencarian dipermudahkan. Penemuan ini sedikit sebanyak meredakan keresahan ibu bapa mangsa yang kehilangan dua anak sekali gus,” katanya.
Dalam kejadian itu dua adik beradik berusia 12 dan 14 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang besar sebelum dihanyutkan arus deras.
Mayat Qayyum Shaqeel, 12, ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi terjatuh pada malam kejadian di Sungai Merbau, Kampung Sungai Kantan jam 7.47 malam.


