SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun disahkan meninggal dunia dipercayai akibat lemas di kolam mandi sebuah inap desa di Batu 4 Jalan Pantai di Port Dickson, Negeri Sembilan dalam kejadian Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 10.40 malam.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa, Muhammad Noor Rizqy Danial Musaffaran lemas dalam kolam sedalam 1.5 meter dan panjang sembilan meter.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Tuanku Jaafar Seremban jam 6 petang semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun ujarnya, mangsa disahkan meninggal dunia jam 8.40 malam tadi oleh doktor bertugas.
“Bedah siasat akan dilakukan hari ini di Hospital Rembau untuk membantu siasatan,” katanya.
Semalam, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia selepas dikatakan lemas ketika mandi bersama rakan di sebuah rumah kelab di Lenggeng, Seremban.
Menurut polis ketika kejadian jam 12.15 tengah berlangsung majlis penyampaian hadiah sebuah tadika di rumah kelab berkenaan.
Mangsa, Nur Dhiya Azzalea Noor Muhamad, dikatakan sedang mandi bersama rakan-rakan sebelum tiba-tiba hilang daripada penglihatan bapanya.


