JPJ buat laporan polis terhadap penumpang mulut celupar

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan membuat laporan polis berhubung tindakan seorang lelaki yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggotanya semasa sekatan jalan raya di Kilometer 20, Lebuhraya Seremban–Port Dickson menghala ke Seremban, semalam.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.37 petang itu, sebuah kenderaan jenis Perodua Alza 1.5 berwarna hitam yang dipandu seorang wanita telah ditahan untuk diperiksa dalam satu sekatan jalan raya.

“Semasa semakan dijalankan, kenderaan terbabit telah diberikan Notis Arah Periksa di bawah Seksyen 61(1) kerana nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Namun, ketika notis saman diserahkan kepada pemandu, suami wanita tersebut yang berada di tempat duduk penumpang bertindak mengeluarkan kata-kata kesat serta menghina anggota JPJ yang bertugas sebelum beredar dari lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang tingkah laku agresif, provokasi, ancaman atau penghinaan terhadap anggota penguat kuasa.

Katanya, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak beretika, malah boleh mengganggu kelancaran operasi serta menjejaskan keselamatan pegawai yang bertugas.

“Anggota JPJ terbabit telah membuat satu laporan polis bagi tujuan keselamatan dan tindakan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang.

“JPJ Negeri Sembilan ingin mengingatkan orang awam bahawa semua operasi penguatkuasaan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP), dan setiap individu diminta memberikan kerjasama sewajarnya semasa pemeriksaan dijalankan,” katanya.

Hanif Yusabra turut menegaskan bahawa JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana perbuatan yang menghalang, mengugut atau menghina penjawat awam yang sedang menjalankan tugas rasmi.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img