SEORANG wanita warga asing yang sarat hamil antara 139 warga asing yang ditahan dalam serbuan Op Gegar di 13 premis dipercayai menjadi pusat kegiatan maksiat dan pelacuran di sekitar ibu negara, hari ini.
Wanita warga Indonesia berusia 30 tahun itu ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya dengan kerjasama JIM Johor di premis pelacuran di sekitar Jalan Petaling.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Othman berkata, operasi bermula jam 11.30 pagi itu dibuat di kawasan tumpuan warga asing iaitu Jalan Petaling, Jalan Imbi dan Jalan Pudu dengan keseluruhan 205 individu diperiksa.
“Warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan terdiri daripada 27 lelaki serta 112 wanita berusia antara 20 hingga 65 tahun berasal dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India, Nepal dan Sri Lanka.
“Selain itu 20 lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki kapten atau penjaga premis,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.
Menurut beliau, perkhidmatan seks ditawarkan pada harga serendah RM60 kepada pelanggan warga asing dan tempatan, dengan wanita tersebut hanya bekerja di situ manakala tempat tinggal disewa di lokasi lain.
Selain itu, siasatan mendapati premis terlibat beroperasi 24 jam sehari menerusi dua syif, iaitu dari 6 pagi hingga 6 petang dan bersambung hingga keesokannya dengan pelanggan boleh datang secara terus tanpa perlu membuat tempahan.
“Pemeriksaan mendapati premis ini telah mengubah suai struktur bangunan dengan membina dinding pemisah secara haram. Kita akan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Tambah Basri, siasatan turut dijalankan untuk memastikan jika semua premis yang menggunakan modus operandi sama itu dijalankan satu sindiket.
Selain itu, kata beliau, sebuah kereta Nissan Latio membawa penumpang warga asing juga dikesan cuba melarikan diri ketika serbuan dijalankan di Jalan Petaling, namun berjaya dipintas pasukan penguatkuasa.
Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Beranang dan Semenyih untuk tindakan lanjut.


