AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menahan dua warga Thailand yang cuba menyeludup diesel bersubsidi ke negara jiran itu secara berasingan dengan jumlah rampasan keseluruhan termasuk nilai kenderaan mencecah RM105,236, semalam.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kedua-dua suspek dipercayai menggunakan modus operandi yang sama iaitu mengubah suai kenderaan pacuan empat roda mereka dengan memasang tangki tambahan bagi tujuan menyeludup diesel ke negara mereka.
Beliau berkata, jumlah diesel yang cuba diseludup adalah sebanyak 1,700 liter bersamaan nilai anggaran RM5,236 manakala kedua-dua kenderaan dirampas dianggarkan bernilai RM100,000.
“Kes pertama membabitkan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux putih membawa kira-kira 900 liter diesel semasa pemeriksaan dibuat ketika melepasi Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada jam 4.49 petang.
“Kes kedua pula membabitkan Toyota Hilux kelabu membawa muatan diesel mencecah 800 liter melalui ICQS pada jam 7.45 malam,” katanya.
Mohd Nasaruddin berkata, pemandu dan kenderaan terbabit ditahan serta diserah kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan lanjut.
Kes ini pula katanya, disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu ubah suai kenderaan tanpa kebenaran dan Seksyen 64(1) APJ 1987 bagi tujuan sita kenderaan.


