KETEGANGAN di sempadan Thailand–Kemboja kembali memuncak awal pagi ini apabila Tentera Kawasan Kedua Thailand melaporkan bahawa pasukan Kemboja melancarkan operasi ketenteraan baharu sekitar pukul 4.50 pagi (pukul 5.50 pagi)
Menurut kenyataan rasmi, pasukan Kemboja melepaskan tembakan menggunakan pelancar roket berganda BM-21 ke arah empat lokasi di wilayah Thailand, iaitu Sam Taet, Phoo Phee, Chong Ta Tew dan Prasat Ta Khuai.
Pihak Tentera Kawasan Kedua menegaskan bahawa Kemboja memulakan serangan terlebih dahulu, memaksa Thailand memberikan tindak balas mengikut peraturan pertempuran bagi menamatkan ancaman serta melindungi keselamatan penduduk di kawasan sempadan,lapor media Thailand, The Nation.
Thailand turut menuduh Kemboja merakam visual pertempuran untuk dipaparkan kepada dunia bagi menggambarkan seolah-olah mereka menjadi mangsa, meskipun serangan didakwa dimulakan oleh pihak Kemboja sendiri.
Pertempuran di kawasan berkenaan masih berterusan, dengan kedua-dua pihak saling melepaskan tembakan. Tentera Thailand menegaskan bahawa penggunaan kekuatan mereka adalah berpada-pada dan terhad kepada kedudukan serta pangkalan tembakan tentera Kemboja sahaja — lokasi yang digunakan untuk melancarkan serangan ke dalam wilayah Thailand.
“Tentera Kawasan Kedua tetap teguh mempertahankan kedaulatan Thailand dengan sepenuh kekuatan,” menurut kenyataan itu.
SEMENTARA itu, di pihak Kemboja pula mendakwa, Tentera Thailand melancarkan pencerobohan ketenteraan berskala besar ke dalam wilayah Kemboja semalam, dengan mendakwa kawasan yang diceroboh itu sebagai tanah kedaulatan Thailand, selain berusaha untuk “melumpuhkan keupayaan ketenteraan Kemboja” susulan penggantungan unilateral Thailand terhadap perjanjian damai Kuala Lumpur dengan Kemboja.
Rakaman kamera keselamatan daripada Pentadbiran Wilayah Banteay Meanchey merakamkan kereta kebal dan pasukan paramilitari Thailand menyeberangi sempadan dan memasuki kampung Prey Chan pada waktu petang semalam, lapor portal berita khmertimieskh.
Terdahulu semalam, puluhan ribu penduduk awam Kemboja dipindahkan dari kediaman mereka ekoran pengeboman berat oleh tentera Thailand, dalam insiden yang disifatkan pihak berkuasa sebagai pelanggaran serius terhadap integriti wilayah Kemboja dan perjanjian damai antara kedua-dua negara.
Tentera Wilayah Pertama Thailand, melalui Pasukan Burapha, mengisytiharkan permulaan operasi untuk menuntut apa yang didakwa sebagai “wilayah kedaulatan Thailand” di wilayah Banteay Meanchey.
Pasukan Thailand juga dilaporkan sedang bersiap sedia untuk mara ke dua lagi kampung — Boeng Trakuon dan Chork Chey di daerah O’Chrov.


