Perodua Myvi terbakar, penunggang motosikal cedera terbabas

SEBUAH kereta jenis Perodua Myvi terbakar dalam kejadian di Kilometer 19.6 Lebuhraya Link Kedua dari Perling menghala ke Pontian di Iskandar Puteri, Johor hari ini.

Kebakaran itu turut mengakibatkan seorang penunggang motosikal cedera apabila motosikal jenis Yamaha XMax yang ditungganginya terbabas.

Pemandu Myvi terbabit, seorang lelaki berusia 23 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan dia sempat menyelamatkan diri dengan segera keluar sebaik sahaja kenderaan dipandunya terbakar.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Penguasa Bomba Kanan Satu Hairulnizam Mohd Noh berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 9.04 pagi.

Menurutnya, sebaik sahaja menerima panggilan, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan kekuatan tujuh anggota bomba dihantar ke lokasi sejauh lapan kilometer.

“Setibanya anggota bomba ke lokasi pada jam 9.13 pagi, didapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dengan kemusnahan dianggarkan sebanyak 65 peratus.

“Anggota bomba kemudiannya menggunakan satu aliran penggulung hos atau hose reel bagi membantu memadamkan kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ANGGOTA bomba dan penyelamat bertungkus lumus memadamkan kebakaran sebuah Perodua Myvi di Lebuhraya Link Kedua dari Perling menghala ke Pontian di Iskandar Puteri, Johor hari ini. GAMBAR: Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri

Menurut Hairulnizam, penunggang motosikal yang mengalami kecederaan selepas terbabas berikutan kebakaran itu telah dibawa ke hospital menaiki ambulans.

“Kejadian itu turut melibatkan sebuah kereta jenis Nissan Sentra dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terbabas akibat cuba mengelak kebakaran itu, namun pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan tidak mengalami  kecederaan,” katanya.

Tambah beliau, kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.56 pagi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img