SALAH satu kenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini ialah pada malam keputusan diumumkan apabila Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh dengan begitu gembira mengumumkan GRS dan PH sudah cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan.
Ketika itu ramai tertanya-tanya berapa kerusikah yang dimenangi oleh PKR dan berapa pula yang diperolehi DAP serta berapa pula yang dicapai oleh GRS.
Ia memandangkan keputusan tidak rasmi menunjukkan GRS hanya menang 29 kerusi manakala DAP kalah kesemua 8 kerusi ditandingi dan PKR pula melalui Jamawi Jaafar menjadi satu-satunya calon menang daripada PH.
Reaksi Fuziah mendapat kritikan ramai pada malam itu kerana keputusan rasmi menunjukkan tiada parti mendapat majoriti mudah 37 kerusi.
Hari ini tindakan Fuziah itu turut dikritik Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook kerana mengisytiharkan secara unilateral bahawa PH menjadi sebahagian kerajaan Sabah, pada malam keputusan pilihan raya diumumkan.
Loke berkata, DAP tidak dimaklumkan mengenai pengumuman itu dan tidak menyedari sidang media berkenaan diadakan, lapor China Press.

“Tidak. Saya boleh katakan ini secara terbuka. Tindakan itu salah sama sekali. Pengumuman sedemikian tidak sepatutnya dibuat; ia menjadikan kita bahan ketawa,” beliau dipetik sebagai berkata dalam satu audio siar berbahasa Cina semalam.
Loke berkata, PKR hanya menang satu kerusi pada PRN 29 Nov di Sabah dan menegaskan pembentukan kerajaan negeri sepatutnya diumumkan oleh parti yang mempunyai kerusi terbanyak.
“Pengumuman itu sepatutnya dibuat Hajiji Noor, pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Sekiranya mereka dapat memperoleh sokongan parti atau ADUN lain, barulah mereka dapat membentuk kerajaan dan membuat pengumuman itu,” katanya.
Fuziah mengadakan sidang media pada malam pengundian dengan mendakwa PH dan GRS telah memperoleh jumlah diperlukan untuk membentuk kerajaan baharu Sabah.
PH sekadar menang satu kerusi – Melalap, yang ditandingi calon PKR – manakala DAP pula tumpas semua lapan kerusi dipertandingkannya.
Sebaliknya, GRS menang 29 kerusi. Selain PH, GRS turut bergabung dengan Barisan Nasional (BN), Upko, dan lima calon Bebas untuk membentuk pentadbiran negeri.


