PEMPENGARUH media sosial dan usahawan makanan, Khairul Aming hari ini mendedahkan beliau menyimpan rahsia selama setahun sebelum mengumumkan bakal membuka sebuah restoran diberi nama Rembayung bernilai RM4 juta.
Anak kelahiran Kelantan yang telah bergiat lebih 10 tahun dalam bidang digital dan penyediaan makanan itu berkata, pembukaan Rembayung merupakan langkah beliau seterusnya selepas melalui fasa pertama dalam bidang perniagaan.
Beliau yang membuat pengumuman itu menerusi media sosial memaklumkan, konsep restoran yang bakal diperkenalkannya itu memberi tumpuan terhadap elemen kampung.
“Jadi inilah hasil kerja keras selama setahun ini, siapa sangka dulu kita mula dengan masak seorang di atas lantai dan 10 tahun kemudian kita boleh bina restoran di tengah Kuala Lumpur.
“KA harap sangat Rembanyung akan jadi tarikan pelancong dari satu dunia datang dan mencuba juadah kampung kebanggaan kita,” katanya dalam video yang dimuatnaik, hari ini.

Restoran Rembayung menurut Khairul Aming, dibina di atas tanah seluas 743.224 meter persegi (8,000 kaki persegi) di Kampung Baru iaitu hanya sembilan minit dari pusat beli belah KLCC atau Menara Berkembar Petronas.
Menurutnya, untuk ruang dapur sahaja, beliau membelanjakan hampir RM500,000 untuk menyediakan dapur yang selesa untuk kemudahan cef dan di dalam dapur tersebut turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang serba baharu.
“Konsep yang kita pilih adalah elemen kayu, daun hijau dan angin sepoi-sepoi bahasa, apabila masuk di dalam restoran ini akan ada satu kipas besar yang akan memberikan suasana kampung yang nyaman.
“Restoran ini juga luas dan mampu menampung lebih 250 pelanggan dalam satu masa. Ia berkonsepkan semi glass-house dua tingkat bagi menampung orang ramai dari serata negara,” jelasnya.
Khairul Aming berkata dengan pembukaan restorannya itu, ia turut membuka peluang pekerjaan kepada 50 anak tempatan.
“Mereka ini semua tidak tahu bahawa restoran ini milik KA, mereka hanya datang temuduga dah lulus baru mereka tahu,” katanya.


