DATUK Seri Amirudin Shari mengulangi hasratnya untuk kekal menerajui pentadbiran negeri sehingga tamat penggal, meskipun terdapat laporan media menyebut beliau antara tokoh yang sesuai dilantik sebagai menteri Pusat.
Menurut Menteri Besar Selangor itu, beliau mahu menyempurnakan pelbagai perancangan yang dibuat untuk pembangunan negeri itu.
“Lebih baik saya sempurnakan kerja di sini untuk memastikan kita kembali menang dengan signifikan selain melengkapkan perancangan sedia ada,” katanya selepas satu majlis, lapor FMT.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua dan Ahli Parlimen Gombak itu menyerahkan soal pelantikan Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pejabat Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan rombakan Jemaah Menteri akan dibuat dalam tempoh terdekat, yang kedua sejak Anwar menjadi Perdana Menteri pada November 2022.
Ketika ini terdapat empat kekosongan portfolio iaitu Kementerian Ekonomi; Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam; Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Portfolio Menteri Ekonomi kini dipangku Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan manakala portfolio Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam diuruskan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Kekosongan itu berlaku selepas Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan pertengahan tahun ini selepas kalah pemilihan PKR.
Portfolio Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pula dipangku Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, susulan peletakan jawatan Datuk Ewon Benedick bulan lalu.


