SEJAK awal lagi, ramai sudah menjangkakan kerjasama Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dengan Pakatan Harapan akan menimbulkan masalah khususnya di peringkat negeri.
Jika di Johor, Pakatan Harapan (PH) dikatakan kecewa sebab beberapa isu berkaitan kerjasama dengan kerajaan negeri dikuasai BN, di Negeri Sembilan pula, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan rasa kecewa berhubung pembahagian jawatan politik di negeri itu yang didakwanya tidak selaras dengan semangat kerjasama seperti diamalkan di peringkat Persekutuan.
Menteri Luar itu berkata, sepatutnya pembahagian jawatan dilakukan secara adil dan seimbang sebagaimana yang dipraktikkan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan berikutan kerajaan negeri dibentuk secara bersama antara PH dan BN.
“Saya ingin menegur sedikit, sebagai wakil daripada rakan yang menubuhkan kerajaan Negeri Sembilan ini, saya rasa kecewa kerana kita berjanji di peringkat Persekutuan untuk mengurus negara bersama-sama.
“Negeri Sembilan pun begitu, kita bersama untuk urus negeri dan kita mesti beri sama-sama. Itu sebabnya di peringkat Kabinet, jika KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi) dipegang PH, luar bandar (Kementerian Luar Bandar dan Wilayah) pula dipegang BN.
“Tetapi di Negeri Sembilan, keputusan yang dibuat baru-baru ini tidak begitu. Sepatutnya satu untuk kamu, satu untuk saya; satu untuk saya, satu untuk kamu. Ini dua untuk saya, kosong untuk kamu. Tak mahulah begitu,” katanya dalam perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan, di Seremban hari ini, lapor Berita Harian.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata setiap parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan perlu saling menghormati antara satu sama lain.
Menurutnya, sukar bagi pihaknya untuk menjelaskan persoalan yang dikemukakan oleh akar umbi.
“Bukankah lebih baik jika pembahagian jawatan senator itu satu untuk PH dan satu untuk BN? Kami seboleh mungkin ingin bersama-sama mengurus negeri dan negara, tapi di luar sana, ada tahap kita boleh mengekang perasaan.
“Keputusan seperti ini tidak wajar. Saya tidak mahu perkara ini berlaku lagi. Hormatilah rakan kerjasama kita. Seperti ucapan Yang Amat Berhormat Sikamat (Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun–PH), labur sama dapat, cicir sama rugi. Tapi ini, labur tak sama dapat. Yang labur seorang saja dapat, yang cicirnya kami,” tegasnya.
Justeru, Mohamad berharap perkara sedemikian tidak berulang pada masa akan datang kerana boleh menimbulkan persoalan, terutamanya di peringkat akar umbi UMNO.


