POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki melakukan amang seksual terhadap anak perempuan tirinya berusia 11 tahun di sebuah kediaman di Desa Aman Puri di Gombak.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, suspek ditahan polis semalam selepas pihaknya menerima laporan mengenai jenayah lelaki itu.
“Suspek telah direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, kejadian itu disedari ibu mangsa selepas memeriksa telefon bimbit suaminya berusia lingkungan 30-an yang menyimpan gambar anak perempuannya dalam keadaan mencurigakan.
Wanita berusia 30-an itu kemudian memanggil anaknya dan meminta kanak-kanak tersebut menceritakan kejadian sebenar sebelum dimaklumkan perbuatan jijik yang dilakukan bapa tirinyanya.
Lelaki itu turut didakwa mengarahkan supaya kanak-kanak itu tidak memberitahu perkara itu kepada ibunya dan kejadian itu juga dipercayai berlaku sejak awal tahun ini.
Susulan pengakuan anaknya itu, wanita terbabit tampil membuat laporan polis sebelum polis bertindak menahan suspek.


