SEORANG daripada mangsa tembakan dalam Myvi di Jalan Rasah berhampiran Plaza Tol Port Dickson, Seremban pagi tadi, meninggal dunia ketika mendapat rawatan di hospital.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, hasil semakan mendapati mangsa yang parah didapati mempunyai 15 rekod jenayah membabitkan pelbagai kesalahan.
Katanya, anggota petugas Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban menerima panggilan pada jam 7.53 pagi daripada seorang lelaki memaklumkan mengenai kejadian ini.
Kedua-dua mangsa dibawa oleh orang awam ke Hospital Tunku Jaafar (HTJ), dalam keadaan kritikal sebelum dirawat di Zon Merah.
“Bagaimanapun, salah seorang daripada mangsa yang berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan awal di lokasi kejadian terdapat kesan tompokan darah di jalan raya dan menjumpai beberapa kelongsong peluru.
“Hasil pemeriksaan awal kenderaan yang dinaiki mangsa, terdapat beberapa kesan tembakan. Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) digerakkan untuk membantu siasatan,” katanya.
Mengulas mengenai motif kejadian, beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung punca kematian.
“Mangsa pertama yang meninggal dunia dipercayai pengawal peribadi kepada mangsa kedua. Hasil semakan mendapati lelaki yang parah berusia 47 tahun itu mempunyai 15 rekod jenayah.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971),” katanya.


