SEORANG wanita bersama anak angkatnya rentung manakala seorang lagi mangsa cedera dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong Nakhoda 5, Taman Rathna, di Butterworth hari ini.
Kebakaran berlaku kira-kira jam 9.41 pagi melibatkan sebuah rumah berkembar kelas A dengan anggaran kemusnahan 85 peratus.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kejadian itu, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth dengan bantuan BBP Penanti, Bandar Perda dan Kepala Batas bergegas ke lokasi.
“Kita tiba di lokasi pada jam 10.06 pagi dan menjalankan operasi penyelamatan dan pemadaman secara ofensif dan defensif.
“Seorang mangsa lelaki berusia lingkungan 20-an berjaya dibawa keluar. Dia ditemukan dalam keadaan cedera di kawasan pintu dapur pada jam 10.21 pagi.
“Dua lagi mangsa, Hayani Yaakob, 50-an, dan anak angkatnya yang dikenali sebagai Andra berusia antara 4 hingga 5 tahun ditemukan rentung di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama pada jam 10.59 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.15 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.21 pagi.
“Seramai 20 anggota dengan empat jentera termasuk Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terlibat dalam operasi tersebut, selain bantuan daripada polis, Tenaga Nasional Berhad, Kementerian Kesihatan serta Pasukan Bomba Sukarela Sungai Puyu.
“Kerja-kerja overhaul masih dijalankan dan punca kejadian sedang disiasat,” katanya lagi.


