KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malayssia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memberi bayangan perkhidmatan dengan agensi itu akan berakhir tahun depan selepas disambung sebanyak tiga kali sebelum ini.
Katanya, penyambungan kontrak itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pihak tertentu.
““Insya-ALLAH, tahun depan tempoh perkhidmatan saya akan tamat. Ia telah disambung tiga kali sebelum ini. Orang sudah tidak suka saya, Rafizi pun tidak suka saya, dia kata jangan sambung Azam Baki,” selorohnya ketika berucap dalam program SPRM – UiTM Inspira 2025: Hari Integriti & Kepimpinan di UiTM Cawangan Puncak Alam, di Shah Alam hari ini.
Mengenai pengganti Azam berkata soal itu tidak penting asalkan tugas memerangi rasuah diteruskan dengan tegas.
“Apa yang penting ialah pengganti saya meneruskan agenda meningkatkan integriti, mempromosikan tadbir urus yang baik dan menguatkuasakan undang-undang antirasuah tanpa gentar atau pilih kasih,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, mencadangkan supaya Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah segera bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap komitmen memerangi rasuah susulan kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Rafizi berkata, langkah itu boleh dimulakan dengan tidak menyambung kontrak pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Ahli Parlimen Panda itu berkata, jika kontrak itu disambung lagi, ia hanya akan mencemarkan kredibiliti PH dan PKR sebagai parti yang tegas melawan rasuah.


