KANDUNGAN ekstremisme dan hasutan keganasan yang tersebar dalam masyarakat hari ini tidak muncul secara rawak sebaliknya dirangka secara sistematik seperti strategi pemasaran bagi mempengaruhi kelompok sasaran.
Penganalisis jenayah, Dr Kamal Affandi Hashim berkata, evolusi penyebaran ideologi ekstremisme bermula secara lisan dalam kumpulan tertutup, beralih kepada bahan bercetak sebelum berkembang pesat melalui platform digital termasuk laman sesawang biasa, deep web dan dark web.

“Penyebaran dilakukan secara lisan, cetakan dan sejak 1998, internet menjadi medium utama termasuk dark web dan deep web. Bahan bercetak dahulu menggambarkan ‘keindahan’ perjuangan mereka dan kini semuanya bergerak ke arah digital,” katanya ketika dihubungi utusanmelayuplus.
Menurut beliau, jaringan ekstremis turut membangunkan ‘model perniagaan’ tersendiri yang bergantung kepada tajaan, rekrut baharu dan advokasi berterusan, dengan agama atau ideologi dijadikan ‘pakej pemasaran’ untuk menarik pengikut.
Dalam penjelasan lanjut, Kamal Affandi berkata, terdapat dua golongan utama dalam rangkaian ekstremis iaitu mereka yang terlibat secara langsung dan kumpulan sympathizer.
“Terdapat kelompok radikal yang sanggup mencari jalan untuk ke Syria menyertai IS atau rangkaian Jemaah Islamiyah. Malaysia juga mempunyai sejarah seperti serangan Balai Polis Batu Pahat dan perancangan membakar masjid.
“Satu lagi kelompok ialah sympathizer yang menyediakan sokongan logistik seperti rumah sewa, kenderaan atau sumbangan kewangan,” jelasnya.
Beliau berkata, masyarakat perlu memainkan peranan melaporkan sebarang tingkah laku ganjil, manakala pihak berkuasa pula terbukti berkesan membanteras gerakan tersebut melalui operasi risikan.
“Kerja pihak berkuasa banyak dilakukan di belakang tabir. Saya sarankan kerajaan menambah peruntukan kerana pegawai kita cekap, tetapi pencapaian boleh ditingkatkan dengan sumber yang lebih besar,” katanya.
Mengulas mengenai corak penyebaran ideologi, Kamal Affandi menyifatkannya sebagai satu rangkaian seperti perniagaan runcit.
“Ada pemborong, pengedar dan penganjur. Ia bergerak seperti perniagaan biasa, cuma tidak dipaparkan sebagai perniagaan,” katanya.
Tambah beliau, semua lapisan masyarakat berpotensi menjadi sasaran penyebaran ideologi radikal.
“Bezanya bukan siapa yang mudah dipengaruhi, tetapi berapa cepat seseorang boleh dipengaruhi. Individu yang mempunyai sokongan sosial baik biasanya lebih berhati-hati, manakala mereka yang terpencil atau tidak stabil emosi lebih mudah terjebak. Semua orang berkemungkinan menjadi sasaran sama ada secara fizikal, kewangan atau logistik,” jelasnya.
Menurut beliau, laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan perekrut menerima sehingga USD10,000 (RM41,075) bagi setiap individu yang berjaya dipengaruhi, menjadikan ekstremisme satu model keuntungan.
“Sebab itu saya katakan bahawa aktiviti keganasan dan ekstremisme sebenarnya berfungsi seperti sebuah perniagaan. Model gerak kerjanya menyerupai model perniagaan, namun ramai yang terpedaya kerana ia berselindung di sebalik kepercayaan, keyakinan serta tafsiran keagamaan,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa sekatan kandungan berbahaya bukan bertujuan mengekang demokrasi, sebaliknya melambatkan proses penyebaran maklumat ekstremis.
“Sebelum tahun 2000, penyebaran hanya melalui lisan dan cetakan. Selepas itu, Telegram, WhatsApp dan media sosial menjadi saluran utama. Namun ekstremisme tidak bergantung sepenuhnya kepada internet seperti kes Al-Ma’unah yang tidak menggunakan internet bagi penyebarannya,” katanya.
Kamal Affandi turut memuji usaha agensi kerajaan termasuk Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), jabatan agama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan angkatan tentera dalam membanteras ancaman berkenaan.
“Semuanya dilakukan untuk memastikan rakyat boleh tidur dengan aman, bekerja dan menikmati kehidupan dengan selesa,” katanya.


