APA sudah jadi? Dalam satu-satu operasi yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama agensi persekutaun seramai 400 orang gelandangan dikesan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, masalah berkenaan terus berulang berikutan kemunculan gelandangan baharu selain kelompok lama kembali semula ke jalanan.
Beliau berkata, gelandangan yang dikenal pasti mempunyai latar belakang berbeza termasuk pelarian berdaftar di bawah UNHCR, penagih dadah, individu mengalami masalah mental serta mereka yang berada di Kuala Lumpur untuk tempoh sementara.
“Kadang-kadang dalam satu operasi kita dapat sehingga 400 orang. Ini menunjukkan isu ini memang berterusan dan memerlukan pendekatan lebih tuntas,” katanya lapor Sinar Harian.
Antara lokasi gelandangan utama yang dikenal pasti termasuk kawasan Bangkok Bank dan sekitar Jalan Pudu, selain beberapa lokasi baharu yang muncul berikutan pembangunan infrastruktur di kawasan tertentu.
Beliau berkata, operasi menyelamat DBKL melibatkan penyertaan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses pengesanan, bantuan dan tindakan susulan dapat dilakukan secara menyeluruh.
Dr.Zaliha berkata, gabungan kerjasama itu penting kerana gelandangan yang dikesan tidak mempunyai satu latar belakang tunggal, sebaliknya terdiri daripada pelbagai kategori yang memerlukan intervensi khusus mengikut kes.
“Buat sementara, terdapat tiga pusat transit disediakan di ibu negara termasuk di Taman Tunku, yang membenarkan gelandangan tidur dan mendapatkan makanan harian,” katanya.
Beliau berkata, NGO turut digalakkan menghantar makanan terus ke pusat transit berkenaan berbanding mengagihkannya di jalan raya bagi mengelakkan masalah kebersihan.
“Kalau makanan diberi terus di jalanan, ada keadaan di mana makanan itu dipilih-pilih dan yang tidak diperlukan dibuang. Ini menjejaskan kebersihan bandar,” katanya.
Dr.Zaliha berkata, sebahagian gelandangan yang dibawa ke pusat pemulihan di Gemenceh telah menamatkan latihan dan berjaya mendapat pekerjaan, menunjukkan langkah intervensi mampu mengubah kehidupan mereka.
Namun begitu, katanya, isu gelandangan tetap berulang kerana ada kemasukan gelandangan baharu sementara sebahagian daripada yang lama kembali semula ke jalanan.
Beliau berkata, JKM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang meneliti undang-undang sedia ada bagi menentukan agensi paling sesuai untuk memikul tanggungjawab utama mengurus isu gelandangan secara jangka panjang.
“Saya difahamkan akta berkaitan sedang diteliti lebih jauh, termasuk siapa yang bertanggungjawab dan bagaimana penyelesaian lebih menyeluruh dapat dilaksanakan,” katanya.


