SEORANG anggota tentera maut manakala empat lagi cedera termasuk seorang orang awam dalam kemalangan melibatkan sebuah trak tentera lima tan dan Proton Wira di Kampung Bukit Belah di Machang, petang ini.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 6.51 petang apabila kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki dikatakan bertembung dengan trak tentera tersebut.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fadzil Musa berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang sebelum bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera bersama enam anggota.
Menurut beliau, sebaik sahaja tiba di lokasi pada jam 6.58 petang, pasukannya mendapati pemandu Proton Wira itu tersepit dan mengalami kecederaan parah.
“Tiga lagi anggota tentera turut mengalami kecederaan. Kesemua mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Seorang anggota tentera bagaimanapun meninggal dunia di tempat kejadian dan kematiannya disahkan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.


