SUNGGUH tragis..Seorang lelaki warga emas maut selepas dilanggar tiga buah kenderaan di Kilometer 29 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) awal pagi ini.
Mangsa yang berusia 67 tahun menunggang motosikal jenis SYM BX110 dari arah Seremban menghala ke Port Dickson sebelum dilanggar sebuah Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 23 tahun dari arah belakang pada 6.15 pagi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, berikutan pelanggaran itu, mangsa terjatuh di atas lebuh raya sebelum dilanggar dua lagi kenderaan iaitu Nissan Grand Livina dipandu wanita berusia 32 tahun dan Perodua Alza dipandu lelaki berusia 36 tahun, yang datang dari arah sama.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat warga emas itu kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Port Dickson untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Maslan, ketiga-tiga kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk semakan sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Senawang bagi pemeriksaan lanjut.
Kes ini kata beliau, disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


