Jika tunduk tekanan UEC, itu bukan keputusan pendidikan tetapi keputusan politik

Oleh Muhamad Mat Yakim

DARI dekad ke dekad, kita melihat bagaimana negara ini dibina atas asas budaya kebangsaan yang jelas. Para negarawan berjuang mempertahankan teras itu dengan bersusah payah untuk memperkukuhkan nilai-nilai dan jatidiri anak bangsa agar dapat terus hidup dengan bersatu hati, aman dan harmoni di tanah air ini.

Malangnya hari ini, ketegasan itu semakin kabur kerana politik kita semakin ditentukan oleh siapa paling cepat tunduk kepada tekanan, bukan siapa paling tegas mempertahankan prinsip!

Pembinaan negara bangsa bukan sekadar retorik tetapi memerlukan ketegasan dasar: bahasa kebangsaan yang dihormati, pendidikan nasional yang disatukan, dan identiti kebangsaan yang tidak dijual beli demi kelangsungan kuasa politik.

Budaya Malaysia adalah berteraskan budaya Melayu; itu hakikat sejarah, hakikat Perlembagaan, dan hakikat semula jadi negara ini. Budaya kaum lain diraikan, tetapi terasnya tetap Melayu. Titik.

Namun di sinilah masalah bermula. Dalam kegilaan politik hari ini, ada pihak yang sanggup mempertaruhkan asas dan masa depan negara hanya untuk meraih tepukan sesaat dengan menuntut sesuatu yang bercanggah dengan pembinaan dan pengukuhan nilai-nilai kebangsaan.

Tuntutan mengiktiraf UEC adalah salah satu contoh paling jelas bagaimana dasar negara  mungkin dipertaruhkan demi meraih populariti sebagai ahli politik.

UEC bukan sebahagian daripada sistem kita—itu fakta. Ia menggunakan kurikulum asing, dengan sejarah negara asing, bahasa pengantar asing dan struktur pemikiran asing.

Apa logiknya sijil sedemikian diberi status dan pengiktirafan dalam sistem pendidikan negara kita? Apa kebaikannya jika lulusan UEC diterima masuk melanjutkan pengajian di universiti awam kita sedangkan sijil mereka adalah berkaitan dengan hal ehwal negara lain?

Apa munasabahnya? Hanya satu jawapan: politik.

Jika kerajaan tunduk kepada tekanan UEC, itu bukan keputusan pendidikan—itu keputusan politik yang boleh dianggap mengkhianati asas pembinaan negara bangsa Malaysia.

Amatlah membimbangkan kerana ini memberi isyarat bahawa prinsip negara — yang bermatlamat untuk memperkukuhkan perpaduan melalui perkongsian identiti bersama  — boleh dipertaruhkan, asalkan cukup kuat tekanannya.

Hari ini UEC, esok entah apa lagi yang akan diasak dan didesak jika kumpulan ini terus diberi peluang berkuasa. Inilah akibat apabila dasar negara ditentukan oleh siapa paling bising, bukan siapa paling benar dan paling bertanggungjawab.

Dalam masa sama, masalah asas yang jauh lebih penting—penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan sebahagian warga bukan Melayu—terus dibiarkan menjadi duri dalam daging. Sudah bertahun-tahun isu ini berlarutan, namun kerajaan lebih sibuk mengurus sentimen politik daripada mengukuhkan identiti kebangsaan.

Thailand dan Indonesia tidak berhadapan dilema ini. Mereka jelas dan tegas: satu bahasa, satu sistem pendidikan, satu identiti nasional. Malaysia pula terperangkap dalam politik akomodasi yang tiada penghujung.

Setiap kali ada tuntutan yang menggugat asas negara, akan muncul segelintir pemimpin yang sanggup melentur prinsip demi undi.

Dalam perkara yang sekecil larangan memasuki premis kerajaan kerana berpakaian tidak patuh etika sebagaimana arahan pekeliling, pun pendirian pemimpin kerajaan sudah goyang.

Inilah kegagalan paling ketara dalam politik kita: ketiadaan keberanian untuk mempertahankan apa yang sepatutnya dipertahankan.

Sekolah vernakular telah diberikan ruang yang sangat luas—ruang yang negara lain pun tidak berikan. Tetapi kini ada pula suara yang mahu melangkaui sempadan itu dan menggugat sistem pendidikan negara secara keseluruhan.

Ia bukan lagi soal pendidikan; ia soal siapa sebenarnya menentukan arah negara ini—kerajaan atau kumpulan berkepentingan yang mendesak tanpa henti.

Malaysia tidak boleh terus dibentuk mengikut selera politik jangka pendek. Negara bangsa tidak akan terbina jika pemimpin sendiri takut mempertahankan dasar yang sudah termaktub dalam Perlembagaan dak undang-undang.

Jika kepimpinan hari ini gagal membezakan antara tuntutan yang patut dipertimbangkan dengan tuntutan yang mesti ditolak, maka masa depan negara akan terus ‘diperkosa’ oleh politik kompromi yang merosakkan.

Quo vadis Malaysia?

*Penulis adalah Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian utusanmelayuplus.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img