TUN Dr. Mahathir Mohamad hari ini terus bersuara lantang berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat apabila menyifatkan perjanjian tersebut sebagai Malayan Union kedua.
Oleh itu ketika berucap di Konvensyen Melayu 153, bekas Perdana Menteri berusia 100 tahun itu berkata, orang Melayu perlu berasa bimbang terhadap ancaman penjajahan bentuk baharu tersebut.
‘’Dulu kita berjaya menentang Malayan Union yang cuba dipaksakan ke atas kita oleh British. Kali ini, dengan cara yang sama, ART yang semacam Malayan Union ke-2 dipaksakan ke atas kita oleh Amerika Syarikat (AS), ‘’ katanya.

Beliau berkata, cabaran orang Melayu hadapi kali ini bukan kecil dan hanya jika mereka bersatu serta bersama-sama barulah berupaya menentang segala usaha dan ancaman untuk menyerah kedaulatan Negara kepada penjajahan baru.
‘’ART ini tidak ada beza dengan perjanjian Malayan Union. Apabila kita serahkan kedaulatan, ia akan menghakis hak Melayu dan Bumiputera, mengenepi Kedaulatan Raja-Raja Melayu serta Negeri-Negeri yang bergabung di dalam Persekutuan.
‘’Jika di tahun 1946, ketika kita di dalam serba kekurangan berjaya menentang MalayanUnion semata-mata kerana kita bersatu, ini bermakna hanya dengan bersatu juga kita mampu menentang ART dan juga mempertahankan kepentingan Melayu/Bumiputera sebagai bangsa teras,’’ katanya.
Mengenai ART, Dr.Mahathir mempertikaikan hujah bahawa Malaysia telah menetapkan garisan merah yang tidak boleh dilanggar oleh AS di dalam perjanjian tersebut terutama berkaitan dengan kepentingan Melayu/Bumiputera.
‘’ Kenyataan ini langsung tidak masuk akal. Sejak bila Amerika Syarikat ambil peduli kepada apa juga syarat atau garisan merah yang ditetapkan oleh negara lain. Ketetapan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), organisasi paling tinggi di dunia itu pun dilanggar dan ada-kalanya dipijak-pijak oleh Amerika Syarikat.
‘’Tiba-tiba Amerika akan hormat kepada syarat dan garisan merah yang ditetapkan oleh Malaysia. Selagi garisan merah dan syarat-syarat itu tidak menguntungkan Amerika, mereka telah bukti zaman berzaman mereka tidak akan patuhi,’’ katanya.
Dr. Mahathir berkata, walaupun seruan beliau telah diejek dan dihina sebelum ini, namun beliau tetap menyeru kepada orang Melayu untuk kembali bersatu dan pertahankan kedudukan kita sebagai bangsa teras negara ini.
‘’Umur saya sudah melangkaui satu abad. Mungkin ada yang merasakan pandangan saya sudah tidak relevan. Terserah pada penilaian masing-masing. Namun, selagi nyawa di kandung badan, saya tidak akan berhenti berusaha dan berjuang untuk memastikan bangsa saya, agama saya dan tanah air saya tidak berpindah milik ke tangan orang lain.
‘’Katalah apa saja. Suruh saya bersara, duduk di masjid beribadat dan lupakan semua ini. Mana mungkin saya berdiam diri. Jika dulu, generasi saya dan yang sebelum saya berjuang menentang Malayan Union, pengganas komunis dan neo-kolonialisma, apakah saya akan berpeluk tubuh dan membiar sahaja tanah air saya dirampas dan bangsa saya dipinggir dan dijajah semula,’’ soal beliau.


