Ambil tindakan tegas jika wujud kecuaian dalam insiden kren runtuh di Pontian – TPM

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mahu siasatan rapi, telus dan menyeluruh dijalankan berhubung insiden runtuhan dan kebakaran kren di Loji Janakuasa Malakoff, Jalan Tanjung Bin, Kukup, Pontian hari ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air meminta pihak berkuasa berkaitan khususnya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga serta agensi teknikal yang terlibat, mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Menurutnya, sebarang unsur kecuaian, kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) atau kelemahan aspek keselamatan tidak boleh dikompromi dan mesti diambil tindakan sewajarnya.

“Saya turut mengarahkan supaya pihak pengurusan loji dan kontraktor terlibat memberikan kerjasama penuh kepada siasatan serta memastikan semua SOP keselamatan, penyelenggaraan peralatan dan pengurusan risiko dipatuhi sepenuhnya bagi mengelak tragedi seumpama ini daripada berulang.

“Kementerian akan terus memantau perkembangan kes ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut sekiranya diperlukan demi memastikan tahap keselamatan industri tenaga negara sentiasa berada pada tahap tertinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang ini, dua pekerja maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah kren pengangkut arang batu runtuh dan menghempap pekerja terbabit di Loji Janakuasa Tanjung Bin dekat Kukup, Pontian.

Fadillah berkata, keselamatan dan kebajikan pekerja dalam sektor tenaga sentiasa menjadi keutamaan kementeriannya dan setiap nyawa adalah amat berharga.

Beliau turut merakamkan rasa simpati dan menzahirkan ucapan takziah terhadap dua mangsa yang terkorban dalam kejadian itu iaitu Allahyarham Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22 dan Allahyarham Muhammad Alfarid Ahmad, 19.

“Semoga keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini. Saya juga mendoakan agar mangsa yang cedera diberikan kesembuhan sepenuhnya,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img