Bapa mentua sempat rakam video kejadian kren runtuh ragut nyawa menantu

SEORANG lelaki tidak menyangka bunyi letupan kuat disusuli kepulan asap dari loji janakuasa di Tanjung Bin adalah kemalangan yang meragut nyawa menantunya, Allahyarham Muhammad Amaluddin Hisamuddin, salah seorang daripada dua pekerja yang maut dalam insiden itu tengah hari tadi.

Muhammad Hussin Zulkifli, 40, berkata, ketika itu dia yang bekerja sebagai penyelia di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) berada di atas kapal dan dapat menyaksikan kejadian itu dari jauh kerana kedudukan tempat kerjanya bertentangan dengan loji janakuasa Tanjung Bin.

MUHAMMAD Hussin Zulkifli dan isteri menunjukkan gambar kenangan menantunya, Allahyarham Muhammad Amaluddin Hisamuddin yang maut dalam kejadian kren pengangkut arang batu di Tanjung Bin, Kukup di Pontian tengah hari ini.

“Saya sempat rakam kejadian itu dan hantar video kepada ahli keluarga kerana menantu saya bekerja di sana (Tanjung Bin).

“Hati saya mula resah apabila menerima panggilan kira-kira jam 2 petang memaklumkan menantu saya antara mangsa terlibat, saya dan isteri terus bergegas ke hospital,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pontian malam ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, dua pekerja dilaporkan maut manakala tiga lagi cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Menurut Muhammad Hussin, kali terakhir dia bertemu arwah menantunya adalah minggu lalu ketika arwah bersama isteri iaitu anaknya, Syahzanani Aizzati, 22, serta anak mereka yang berusia tiga tahun datang melawat dia dan isteri di Taman Nusa Perintis, Gelang Patah.

“Tiada sebarang perubahan ditunjukkan arwah. Dia memang seorang yang pendiam. Anak saya pernah beritahu bahawa arwah suaminya suka makan masakan air tangannya setiap hari,” katanya.

Jenazah Allahyarham Muhammad Hussin, 22, dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gelang Patah.

Sementara itu, abang kepada seorang lagi mangsa yang terkorban, Muhammad Alfarid Ahmad, 19, iaitu Muhammad Faris berkata, dia tidak menyangka perbualan mereka menerusi aplikasi WhatsApp semalam adalah yang terakhir.

“Kali terakhir kami berhubung malam tadi dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan. Kami berbual seperti biasa. Kali terakhir kami berjumpa awal bulan lalu,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img