JDT muncul juara Piala FA kali keempat berturut-turut tewaskan Sabah 5-0

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan selaku pasukan pilihan untuk menjuarai edisi ke-35 Piala FA apabila menewaskan Sabah 5-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Meskipun turun tanpa enam tonggak utama termasuk Bergson da Silva, Arif Aiman Mohd Hanapi yang mengalami kecederaan, anak buah Xisco Munoz mampu menjaringkan gol pertama seawal minit kelapan menerusi tandukan Jonathan Silva.

Gol kedua JDT terhasil daripada jaringan sendiri oleh kapten Sabah, Rawilson Batuil pada minit-20 diikuti gol ketiga daripada Jairo selang dua minit kemudian menjadikan kedudukan 3-0.

Sabah berpeluang merapatkan defisit jaringan, namun gol Ajdin Mujagic, penjaring terbanyak Piala FA pasukan itu musim ini tidak dikira selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) susulan kekasaran yang dilakukan kepada Natxo Insa.

Sabah ibarat jatuh ditimpa tangga apabila kehilangan Mujagic selaku penggempur utama apabila dia terpaksa dikeluarkan pada penghujung babak separuh masa pertama akibat kecederaan.

Aksi separuh masa kedua menambah derita Sabah apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain tengah, Miguel Cifuentes dibuang padang pada minit-50 apabila menerima kad kuning kedua.

Kelebihan itu digunakan sepenuhnya oleh JDT untuk terus mengasak pintu gol Sabah dan hasilnya pada minit-63, Oscar Arribas menghukum kesilapan benteng pertahanan Sabah dengan menjaringkan gol keempat JDT.

Sememangnya beraksi dengan 10 pemain dan berdepan dengan pemain JDT yang penuh dengan kreativiti, hasrat Sabah untuk bangkit dilihat semakin sukar.

JDT terus mengasak dan Manuel Hidalgo menambah malam derita buat Sabah apabila mencetak gol kelima menewaskan penjaga gol gantian Sabah, Khairul Fahmi Che Mat yang masuk menggantikan Daniel Lim, sebelum tiupan wisel penamat.

JDT bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil selaku juara bertahan, manakala Sabah mara ke final selepas kali terakhir sejak 27 tahun lalu.

Perlawanan akhir malam ini juga merupakan ulangan aksi akhir pada 1998 membabitkan kedua-dua pasukan.

Kemenangan JDT malam ini juga membolehkan Johor memperoleh cuti peristiwa esok sebagaimana dititahkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengumumkan berita gembira itu selepas sepak mula, sekiranya JDT mencatatkan kemenangan malam ini.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img