SEORANG lelaki yang bertindak berani menahan dan merampas senjata salah seorang penembak di Pantai Bondi telah dikenal pasti.
News.com.au mengesahkan wira tersebut ialah Ahmed al Ahmed, 43 tahun, seorang penduduk Sydney yang memiliki sebuah kedai buah-buahan di Sutherland.
Bapa kepada dua orang anak itu ditembak dua kali semasa tindakan luar biasanya itu, menurut sepupunya yang bercakap kepada 7News.
“Dia kini berada di hospital dan kami tidak tahu dengan tepat keadaan dalaman kecederaannya. Kami benar-benar berharap dia akan selamat. Dia adalah wira, seratus peratus,’’ kata lelaki bernama Mustafa kepada saluran tersebut.
Ahmed dijadualkan menjalani pembedahan malam ini. Dilaporkan beliau tidak mempunyai sebarang pengalaman mengendalikan senjata api, sebaliknya hanya sedang berjalan di kawasan itu sebelum membuat keputusan untuk campur tangan.
Rakaman video menunjukkan Ahmed, yang memakai baju putih, sedang mencangkung di belakang sebuah kereta di kawasan tempat letak kenderaan, hanya beberapa meter dari salah seorang penembak.
Di antara tembakan, wira orang awam itu berlari merentasi celah-celah kereta dan memegang penyerang dari belakang dengan kunci leher.
Selepas pergelutan sengit selama kira-kira lima saat, Ahmed berjaya merampas senapang patah tersebut dan penembak itu terjatuh.
Sementara itu polis menembak mati salah seorang penyerang manakala seorang lagi cedera parah dan berada dalam keadaan kritikal.


