SEKURANG-kurangnya 12 orang terbunuh dalam satu serangan tembakan semasa acara Hanukkah di Pantai Bondi, Australia.
Polis telah mengisytiharkan insiden itu sebagai serangan pengganas selepas apa yang disifatkan oleh Perdana Menteri New South Wales, Chris Minns, sebagai serangan yang “direka untuk menyasarkan komuniti Yahudi di Sydney”.
Seramai 29 orang dikejarkan ke hospital, termasuk dua anggota polis. Seorang suspek penembak telah ditembak mati, manakala seorang lagi berada dalam keadaan kritikal. Polis turut menyiasat kemungkinan adanya suspek ketiga.
Minns berkata para penyerang melepaskan tembakan sejurus sebelum jam 7 malam ketika acara Hanukkah yang dihadiri lebih 1,000 orang sedang berlangsung.
“Perbuatan pengecut yang menimbulkan ketakutan dan keganasan ini amat mengejutkan dan menyayat hati untuk disaksikan. Apa yang sepatutnya menjadi malam yang penuh keamanan dan kegembiraan … telah dimusnahkan oleh serangan yang mengerikan dan jahat ini, ‘’ katanya.

Pesuruhjaya Polis New South Wales, Mal Lanyon, berkata terdapat “maklumat mengenai penembak yang terbunuh” yang menyumbang kepada pengisytiharan insiden pengganas, namun beliau tidak mendedahkan butiran lanjut.
Beliau berkata bahan letupan buatan sendiri ditemui di dalam sebuah kenderaan di kawasan Bondi yang dikaitkan dengan penyerang yang maut itu. Pakar pelupusan bom berada di lokasi kejadian.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkata insiden tembakan itu adalah sesuatu yang “di luar pemahaman”, dan memuji para “wira” yang tampil membantu mangsa.
“Adegan di Bondi amat mengejutkan dan menyedihkan. Polis dan pasukan kecemasan berada di lokasi bagi menyelamatkan nyawa,” kata Albanese menerusi X.
“Fikiran saya bersama setiap individu yang terkesan.”
Beliau menambah: ”Hari ini kita menyaksikan rakyat Australia berlari ke arah bahaya demi membantu orang lain. Mereka adalah wira dan keberanian mereka telah menyelamatkan nyawa.”

Sebuah pertubuhan Islam utama di Australia turut mengutuk serangan ‘mengerikan’ itu.
“Hati, fikiran dan doa kami bersama para mangsa, keluarga mereka, serta semua yang menyaksikan atau terkesan akibat serangan traumatik ini,” kata Majlis Imam Kebangsaan Australia.
“Ini adalah saat untuk semua rakyat Australia, termasuk komuniti Muslim Australia, untuk berdiri bersama dalam perpaduan, belas ihsan dan solidariti.”
Penyiar nasional Australia, ABC, menyiarkan rakaman dua lelaki berpakaian hitam melepaskan tembakan ke arah orang ramai, serta beberapa individu yang sedang dirawat oleh polis dan paramedik.
Terdahulu, polis berkata mereka sedang bertindak balas terhadap insiden yang sedang berlaku.
“Polis sedang bertindak balas terhadap insiden yang sedang berkembang di Pantai Bondi dan menggesa orang ramai supaya MENJAUHI kawasan tersebut,” kata Polis New South Wales dalam satu hantaran di X.
“Sesiapa yang berada di lokasi diminta untuk berlindung. Polis berada di tempat kejadian dan maklumat lanjut akan dikemas kini.”
Serangan pada Ahad itu berlaku hampir tepat 11 tahun selepas seorang penyerang bersendirian menahan 18 tebusan di Kafe Lindt, Sydney. Dua tebusan dan penyerang terbunuh selepas kepungan selama 16 jam.
Pemimpin pembangkang Parti Liberal Australia, Sussan Ley, berkata:
“Rakyat Australia berkabung malam ini, apabila keganasan penuh kebencian menyerang jantung sebuah komuniti ikonik Australia, sebuah tempat yang kita semua kenal dan cintai — Bondi.”


