SEBUAH jet jenis Cessna Citation III terhempas ketika mendekati Lapangan Terbang Antarabangsa Toluca di tengah Mexico, mengorbankan kesemua 10 penumpang dan anak kapal, menurut pihak berkuasa hari ini.

Data radar awal menunjukkan pesawat tersebut sedang cuba melakukan pusingan semula (go-around) ketika kejadian berlaku. Rakaman CCTV dilaporkan menunjukkan pesawat itu beberapa saat sebelum ia terhempas ke sebuah padang bola sepak yang terletak di antara kawasan Toluca dan San Mateo Atenco.

Pesawat tersebut dikendalikan oleh Jet Pro, sebuah syarikat yang mengkhusus dalam penerbangan persendirian, perkhidmatan teksi udara, dan penyelenggaraan pesawat.
Dalam satu kenyataan, Agensi Penerbangan Awam Persekutuan Mexico (AFAC) memaklumkan bahawa Direktorat Perkhidmatan Navigasi di Ruang Udara Mexico (SENEAM) akan menjalankan siasatan bagi menentukan punca nahas tersebut.


