
PENGIKTIRAFAN UEC bukan ujian politik. Ia ujian oleh beberapa pertubuhan kaum Cina terhadap kekuatan tali perpaduan dan semangat setiakawan di antara kaum di negara ini.
Mereka sengaja enggan menggunakan istilah Bahasa Melayu, tegar dengan istilah Bahasa Malaysia, satu istilah yang tidak pernah diiktiraf. Mereka sengaja menggunakan istilah Semenanjung Malaysia, tidak Semenanjung Tanah Melayu, kerana enggan menerima apa juga istilah yang ada perkataan ‘Melayu’.
Sejak kebelakangan ini ketegaran mereka semakin terserlah. Nampak seolah-olah parti politik dokongan mereka, DAP, yang nak jadi hero. Bukan. DAP sekadar kuda tunggangan mereka saja, kebetulan terdapat beberapa watak dalam kalangan pemimpin DAP yang nak jadi hero.
Hakikatnya, pertubuhan ini mengambil kesempatan tatkala Perdana Menteri dibebani beberapa isu nasional yang getir. Inilah masa terbaik bagi mereka untuk membebankan lagi Perdana Menteri dengan isu-isu perkauman, seperti pengiktirafan UEC ini.
Ada banyak sijil, diploma atau ijazah antarabangsa dan tempatan yang diiktiraf atau ditolak oleh negara ini. Setiap penerimaan atau penolakan adalah bersebab. Penolakan UEC bukan saja di Malaysia, malah di Singapura. Alasannya sama.
Ini adalah cabaran kepada si penjolok sarang tebuan:
- Beranikah pertubuhan ini buat satu pameran terbuka mengenai sistem peperiksaan UEC dan hidangkan semua buku-buku teks yang diajar untuk menduduki peperiksaan ini?
- Beranikah sekolah-sekolah vernakular yang terbabit dengan peperiksaan UEC ini menempatkan guru-guru Melayu mengajar subjek Bahasa Melayu, Sejarah dan Sivik, mengikut sukatan pelajaran yang disediakan dan atau diperakui kementerian pendidikan (KPM), di semua sekolah mereka?
- Beranikah sekolah-sekolah itu membenarkan nazir KPM melawat dan memeriksa keseluruhan sistem persekolahan dan peperiksaan UEC?
Sudah terlalu acap kali, siapa juga terajui kepimpinan negara ini akan diuji oleh pertubuhan ini dengan pelbagai isu yang ternyata rasis. Tiba masanya bukan saja UEC tidak diiktiraf, tetapi juga pertubuhan ini mesti diharamkan. Ia adalah racun kepada semangat setiakawan. Ia gunting dalam lipatan yang senantiasa menggunting untuk memutuskan tali perpaduan.
Jika tidak segera diharamkan, api kebencian kaum akan semakin marak. Tali perpaduan akan semakin genting. Semangat setiakawan antara kaum yang berakar umbi ribuan tahun yang silam, terutama di antara dua rumpun bangsa utama, yang asalnya Melayu dan Mongol, akan tercemar.
Saya tahu, pertubuhan sehina itu tidak akan berhenti menghidupkan api perkauman. Saya juga hendak pertubuhan itu, orang Melayu juga sudah hilang sabar dengan kerenahnya. Hormatilah peringatan Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin pada April 1978: Merdeka deal – keep the bargain. Jika tidak reti hormati kami, tidak ada sebab kami perlu hormati kamu.
- Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)


