SEORANG lelaki warga emas orang kurang upaya (OKU) ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari kerusi rodanya ke dalam tali air di Jalan Kampung Sungai Tiang Baru dekat Selekoh, Hutan Melintang, Perak pagi ini.
Mangsa, lelaki tempatan berusia 77 tahun yang berkaki palsu ditemukan terapung di bawah jambatan Sungai Tiang kira-kira dua meter dari lokasi dipercayai mangsa terjatuh, pada jam 8.40 pagi.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, berkata, sepasukan anggota dan pegawai tiba di tempat kejadian pada jam 8.13 pagi.
“Sebaik sahaja tiba, pasukan penyelamat mendapati kerusi roda milik mangsa ditemukan berada di tepi tali air dan mangsa disyaki telah terjatuh ke dalamnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Shazlean, pasukan penyelamat kemudian menjalankan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota membuat pencarian di sekitar kawasan kejadian.
Katanya, mangsa akhirnya berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba sebelum diperiksa oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.


