POLIS meminta bantuan orang ramai untuk mengesan keberadaan seorang wanita, Suri Narudin yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, polis telah menerima laporan berkaitan kehilangan wanita berusia 53 tahun itu daripada ibu saudaranya.
“Wanita berkenaan telah membuat laporan di Balai Polis Ampang berhubung kehilangan anak saudaranya.
“Berikutan itu polis telah membuka kertas siasatan dan kes ini diklasifikasikan sebagai orang hilang, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan wanita itu,” katanya hari ini.
Terdahulu, tular rakaman video penyanyi Mac Ruhayu memohon bantuan orang ramai mengesan rakannya yang dilaporkan hilang dan gagal dihubungi itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita terbabit diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-4289 7222 atau mana-mana balai polis berhampiran.


