‘’Lantik menteri Cina tak semestinya orang Melayu ditindas’’ – Anwar jawab 

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan, pelantikan menteri dan timbalan menteri Wilayah Persekutuan tidak seharusnya dijadikan isu perkauman kerana pemilihan anggota Kabinet tidak mengikut warna kulit.

Sebaliknya beliau menegaskan, semua anggota Jemaah Menteri yang dipilih berperanan memastikan perkhidmatan awam berfungsi dengan berkesan untuk semua kaum.

Anwar berkata, tadbir urus di Wilayah Persekutuan memerlukan kerja berpasukan dan walaupun datuk bandar dan pegawai kanan mungkin terdiri daripada orang Melayu, tanggungjawab tetap untuk berkhidmat dan melindungi kepentingan semua komuniti.

“Ini tidak semestinya bermakna pelantikan menteri berbangsa Cina akan menyebabkan orang Melayu ditindas. Begitu juga, jika seorang menteri Melayu diberi amanah mengendalikan portfolio Wilayah Persekutuan, ia tidak bermakna menteri itu hanya akan menjaga kepentingan orang Melayu.

“Datuk Bandar adalah orang Melayu dan tadbir urus memerlukan kerja berpasukan, dengan tanggungjawab untuk membantu dan berkhidmat kepada semua komuniti,” katanya pada sesi Taklimat Perdana Menteri Besama Ketua-Ketua Pengarang Media di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, hari ini.

Pelantikan Hannah Yeoh daripada DAP sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan Lo Su Fui daripaa GRS sebagai Timbalannya mencetuskan kritikan bukan sahaja daripada pembangkang malah juga daripada UMNO yang merupakan parti dalam kerajaan.

Anwar turut menjelaskan,  rombakan Kabinet dengan penyertaan muka baharu dan lebih muda adalah sebagai persediaan bagi memberi ruang kepada barisan kepemimpinan memperkasakan kerajaan dalam tempoh jangka panjang.

Katanya, kemunculan generasi pemimpin muda berpengalaman berupaya memainkan peranan sebagai penyambung kepemimpinan negara pada masa akan datang.

“Jika dilihat senario, kita dapat melihat kemunculan barisan kepemimpinan baharu yang kebanyakannya terdiri daripada generasi muda yang berpengalaman dan boleh dianggap sebagai generasi kedua dan ketiga kepemimpinan parti.

“Pada peringkat awal (pentadbiran) dahulu, saya tidak dapat melaksanakannya kerana keutamaan ketika itu adalah untuk memastikan kestabilan dan kekuatan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau menegaskan, usaha melaksanakan pembaharuan adalah perlu bagi memastikan kerajaan menjadi lebih kuat demi kesejahteraan rakyat dan negara.

“Ambil contoh Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa. Beliau bersama parti (PKR) sejak awal dan perjalanannya bukan mudah, tidak berlaku dalam tempoh singkat. Ada ketika beliau melalui fasa yang mencabar, tetapi akhirnya beliau berjaya.

“Saya percaya beliau juga memahami bahawa saya mempunyai ruang dan tanggungjawab untuk mengembangkan barisan kepimpinan dan pada masa yang sama memastikan beliau terus melaksanakan peranan yang diamanahkan sebelum memberi laluan kepada wajah-wajah baharu,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img