Dua kereta, satu motosikal rosak, struktur depan rumah teres runtuh

PENGHUNI sebuah rumah teres dua tingkat cemas apabila struktur bahagian hadapan rumah didiami mereka di Taman Pinggiran Senawang di Seremban runtuh awal pagi ini mengakibatkan tiga kenderaan mengalami kerosakan.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu kerana penghuni rumah telah dikeluarkan dengan bantuan jiran.

RUNTUHAN struktur hadapan sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Pinggiran Senawang awal pagi ini. GAMBAR Pengguna Threads

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian jam 4.51 pagi.

“Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang telah digerakkan ke lokasi dan sampai jam 5.04 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati, sebuah rumah teres dua tingkat berukuran 22 kaki x 75 kaki mengalami runtuhan struktur di bahagian hadapan dan menyebabkan tiga kenderaan yang diparkir di garaj mengalami kerosakan,” katanya hari ini.

Menurut jurucakap pusat gerakan itu, tiga kenderaan yang terlibat adalah sebuah Toyota Alphard, Toyota Yaris dan motosikal Yamaha NVX.

“Bomba telah pun menjalankan kerja-kerja pemantauan di sekitar kawasan rumah sementara menunggu tindakan lanjut daripada Majlis Bandaraya Seremban (MBS),” katanya.

Dalam perkongsian Threads, seorang wanita memaklumkan mengenai kejadian itu yang menimpa jiran di hadapan rumahnya.

“Doakan jiran saya, berdepan rumah saya diberi ujian rumah runtuh jam 4.30 pagi. Alhamdulillah tiada kecederaan, pakcik dan makcik owner rumah ini berjaya keluar rumah,” kata pengguna aplikasi itu.

Dalam ruangan komen, ada yang memberi pendapat runtuhan itu mungkin disebabkan panel solar yang dipasang pada bahagian hadapan struktur rumah tersebut.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img