MENGEJUTKAN apabila sebuah kilang komponen komputer menggajikan 356 pendatang asing tanpa izin untuk menjalankan operasinya di kawasan perindustrian Tebrau, Johor Bharu.
Segalanya terbongkar apabila hasil risikan yang dijalankan Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) Johor menyerbu kilang tersebut dan menahan kesemua pendatang berkenaan.
Dalam satu kenyataan, Pengarahnya Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata serbuan pada pukul 7 malam itu turut disertai pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dan dilakukan selepas risikan mengesahkan kilang itu menggaji pendatang tanpa izin.
“Semasa sebuan ada yang cuba meloloskan diri namun anggota penguat kuasa berjaya menutup laluan keluar. Selain itu, dua warga tempatan yang merupakan pegawai sumber manusia juga ditahan,” katanya hari ini.

Mohd Rusdi berkata pendatang tanpa izin ditahan terdiri daripada 246 lelaki dari Myanmar, Bangladesh (26), India (22), Pakistan (tiga) serta masing-masing seorang Nepal dan Filipina manakala wanita terdiri daripada 53 Myanmar, Indonesia (tiga) serta seorang Nepal.
Kesemua mereka berusia antara 18 hingga 46 tahun. Mereka ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.


